Curi kabel: Empat beradik ditahan

Adzli menunjukkan buku rekod jual beli barangan lusuh yang dirampas.
Adzli menunjukkan buku rekod jual beli barangan lusuh yang dirampas.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Empat beradik anggota Geng Pipit berusia 15 hingga 24 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi kabel sekitar Bedong.

Keempat beradik berkenaan yang ditahan antara jam 2.30 hingga 5.45 pagi 13 Februari lalu menjadikan rumah mereka di Sungai Lalang sebagai lokasi membakar kabel untuk mendapatkan tembaga sebelum dijual kepada pengusaha barangan lusuh.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, modus operandi kumpulan berkenaan ialah memanjat tiang dan kemudian memotong wayar kabel sehingga putus dengan menggunakan pemotong besi sebelum menarik keluar dan membakar untuk menjual kepada pembeli.

Menurutnya, polis turut merampas dua gulung kabel warna hitam mempunyai tulisan Telekom Malaysia Berhad (TM), satu batang alat pemotong, satu karung guni berisi gulungan kabel warna kelabu yang telah siap diproses.

"Hasil ujian saringan mendapati dua suspek berusia 19 dan 24 tahun disyaki positif dadah jenis methamphetamine.

"Semakan lampau juga mendapati dua daripada empat beradik mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kes curi," katanya kepada media.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya anggota geng terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan sebahagian daripada kes kecurian kabel.

Untuk rekod, sebanyak 90 kes curi kabel dilaporkan sejak 2018 dan lebih 60 peratus membabitkan kecurian kabel TM.

Artikel Berkaitan:

Adzli berkata, suspek berusia 15 tahun yang merupakan pelajar tingkatan tiga di bebas dengan jaminan polis manakala selebihnya direman lima hari bagi membantu siasatan.

Kabel yang dicuri oleh anggota Geng Pipit.
Kabel yang dicuri oleh anggota Geng Pipit.

Dalam pada itu, polis menahan tiga pengusaha premis barangan lusuh di dua buah kedai di Bedong yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek.

"Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dibantu Cawangan D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah menahan tiga lelaki tempatan berusia 23 hingga 40 tahun dalam dua serbuan berasingan pada 14 dan 15 Februari lalu.

"Kita juga telah merampas 10 keping besi penghadang jalan, satu unit bateri warna hitam, tiga unit buku rekod jual beli barang lusuh dan satu alat penimbang berat.

Dengan tumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan 49 kecurian kabel milik TM dari penghujung Oktober 2018 sehingga kini di sekitar Sungai Lalang dan Bedong," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 (Akta189), Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil.