6 hospital, 5 pusat jagaan warga emas terima RM255,000 sumbangan zakat

Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) Abdul Basith Hamid berucap pada Majlis Serahan Dana Hospital Mesra Ibadah dan Pelancaran Bakul Qaseh Ramadan LZS di Hospital Selayang hari ini. -Foto Bernama
Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) Abdul Basith Hamid berucap pada Majlis Serahan Dana Hospital Mesra Ibadah dan Pelancaran Bakul Qaseh Ramadan LZS di Hospital Selayang hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam hospital dan lima pusat jagaan warga emas menerima sumbangan zakat RM255,000 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini pada Jumaat.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata, sumbangan itu akan disalurkan menerusi program Hospital Mesra Ibadah bagi pelaksanaan aktiviti seperti latihan ibadah kepada pesakit, waris dan jururawat hospital, kaunseling pesakit dan lain-lain aktiviti keagamaan.

“Untuk pusat jagaan, sumbangan ini juga bagi membantu mereka melaksanakan operasi dan aktiviti, lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik yang melanda negara sekarang,” katanya selepas Majlis Serahan Dana Hospital Mesra Ibadah dan Pelancaran Bakul Qaseh Ramadan di Hospital Selayang.

Enam hospital terlibat ialah Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Ampang, Hospital Shah Alam, Hospital Serdang dan Hospital Sungai Buloh dengan masing-masing menerima sumbangan zakat RM10,000.

Selain itu, tiga pusat jagaan yang menerima sumbangan zakat dalam bentuk geran iaitu Pusat Jagaan Al-Fikrah, Pusat Jagaan Siti Noraini dan Pusat Jagaan Mahmudah masing-masing menerima RM50,000.

Dua lagi pusat jagaan iaitu Pusat Jagaan Nurhasanah menerima RM25,000, manakala Pusat Kebajikan Penyayang Hani menerima sumbangan sebanyak RM20,000.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, Timbalan Pengarah Hospital Selayang, Dr Tengku Intan Norleen Tengku Sharif dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perubatan LZS, Tunku Datuk Dr Muzafar Shah Tunku Jaafar.

Pada majlis sama, LZS turut melancarkan program Bakul Qaseh Ramadan bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan mengedar 3,000 pek juadah berbuka puasa di tiga hospital terpilih sepanjang bulan ini iaitu Hospital Selayang, Hospital Serdang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Basith berkata, ini merupakan program tahunan LZS sempena Ramadan bagi menyantuni kakitangan hospital dan waris dengan mengagihkan juadah berbuka kepada mereka, secara tidak langsung menjadi platform dakwah LZS kepada masyarakat.

“Menerusi program ini, bantuan bukan sahaja diberikan kepada orang Islam malah orang bukan Islam juga tidak terkecuali. Duit yang digunakan ini bukan duit zakat, LZS menggunakan duit pengurusan amil untuk bantuan kepada bukan Islam,” katanya. - Bernama