Kelebihan Si Tinggi lampai 184cm

Aksi Muhammad Arsyad (kiri) semasa acara 100 meter lelaki GP Malaysia di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil, Sabtu lalu. -Foto: MSN
Aksi Muhammad Arsyad (kiri) semasa acara 100 meter lelaki GP Malaysia di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil, Sabtu lalu. -Foto: MSN
A
A
A

KETINGGIAN 184cm dimiliki atlet Johor Muhammad Arsyad Md Saat memberi kelebihan kepadanya sehingga berjaya mencipta kejutan dengan muncul sebagai raja pecut 100 meter (m) lelaki dalam Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia, di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Lebih manis, catatan masa larian 10.64 saat (s) yang direkodkan oleh anak didik jurulatih pecut Mohd Poad Md Kassim dalam kejohanan itu merupakan rekod baharunya selepas mencatatkan 10.70s semasa Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia pada 2019.

Kejayaan itu sudah cukup untuk mengecewakan atlet kebangsaan dari Sarawak Jonathan Nyepa yang berada di tempat kedua (10.70s), manakala Muhammad Azeem Mohd Fahmi dari Perak di tempat ketiga (10.85s).

Bagi Mohd Poad, Muhammad Arsyad yang dibimbing sejak 2019, memiliki kelebihan dan ‘faktor x’ iaitu ketinggiannya untuk mencipta lebih banyak kejayaan dalam acara pecut pada masa hadapan.

“Muhammad Arsyad ada potensi jauh...dari segi ukuran lebih tinggi daripada atlet lain, saya yakin dia boleh mencipta rekod pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas Kejohanan GP Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau mengakui tidak menyangka pelari pecut muda itu mampu melakar kejayaan pada acara itu dan hanya menyasarkannya untuk mencatat rekod baharu peribadi dalam kejohanan itu.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu turut diharap mampu mengekalkan momentum lariannya sekali gus mencerahkan peluang untuk sekurang-kurangnya tersenarai dalam kuartet 4x100m lelaki pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, November ini.

Mohd Poad sebelum ini pernah membimbing dua atlet pecut meraih emas pada acara riben biru dalam dua temasya Sukan SEA berturut-turut menerusi Khairul Hafiz Jantan di Kuala Lumpur pada 2017 dan Muhammad Haiqal Hanafi di Manila, Filipina pada 2019.

Artikel Berkaitan: