Malaysia Airlines lanjutkan fleksibiliti kepada pelanggan

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA Airlines menawarkan fleksibiliti kepada penumpang untuk menempah semula tiket mereka berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan dan sekatan perjalanan antara negeri.

Dalam kenyataan pada Jumaat, syarikat penerbangan itu berkata, ia telah melanjutkan fleksibiliti perjalanan dengan menawarkan kesahan tiket yang lebih lama dengan perbezaan tambang sekali dan perkhidmatan pengecualian fi.

“Penumpang yang layak kini boleh menempah semula tiket penerbangan mereka pada atau sebelum 31 Disember 2021 untuk perjalanan sehingga Jun 2022.

“Sebelum ini, Malaysia Airlines telah menawarkan fleksibiliti kepada pelanggan untuk menempah semula tiket pada atau sebelum 30 Jun 2021 untuk perjalanan sehingga Disember 2021,” katanya.

Sementara itu, syarikat penerbangan itu menggalakkan penumpang merancang tempahan lebih awal untuk perjalanan akan datang bagi memilih tiket ekonomi flex.

“Tiket ekonomi flex bertujuan memberikan proses perjalanan tanpa tekanan dan mudah. Ia dilengkapi dengan manfaat seperti perubahan tarikh tanpa had tanpa dikenakan fi berserta faedah perjalanan lain termasuk bayaran balik percuma tanpa dikenakan fi,” katanya.

Faedah lain adalah fleksibiliti ‘Go Show’ (yang membolehkan penumpang bersiap sedia untuk penerbangan lebih awal pada hari yang sama ke destinasi yang sama), keutamaan daftar masuk dan berlepas dengan elaun bagasi daftar masuk sebanyak 35 kilogram (kg).

Seiring dengan normal baharu, Malaysia Airlines akan memperkenalkan Pas Kesihatan Perjalanan Digital, ciri yang akan melancarkan perjalanan penumpang dengan dasar berkaitan Covid-19 di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

“Berikutan Malaysia terus mengenakan arahan kuarantin bagi ketibaan antarabangsa daripada destinasi tertentu, MHholidays, cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines menawarkan pakej kuarantin yang didatangkan dengan hospitaliti premium di rakan hotel terpilih.

“Selain itu, pelanggan boleh menjalani proses kuarantin yang baik dan selesa di hotel yang diluluskan Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya tujuh malam,” katanya.

Penumpang yang ingin menempah semula perjalanan mereka boleh membuat perubahan secara dalam talian di www.malaysiaairlines.com atau menghubungi pusat panggilan di talian 1-300-88 3000 (dalam Malaysia) atau +60-3-7843 3000 (luar Malaysia). - Bernama