Program kebajikan santuni warga Kementerian Pertahanan

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz (kiri) dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (tengah) ketika Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk Peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini pada Jumaat.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz (kiri) dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (tengah) ketika Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk Peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penekanan terhadap aspek kebajikan dan kebersamaan dalam kalangan warga Kementerian Pertahanan menjadi antara tumpuan dilaksanakan kementerian itu khususnya dalam bulan Ramadan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz berkata, program-program kebajikan dilaksanakan sepanjang tahun namun tumpuan terhadap beberapa program tambahan dilaksanakan sepanjang bulan puasa bagi menyantuni warga Kementerian Pertahanan yang memerlukan.

Menurutnya, program yang diatur juga termasuk pertemuan dan majlis berbuka puasa dengan anggota-anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan-kawasan operasi di seluruh negara termasuk di kawasan sempadan.

“Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga Panglima ATM akan bersama-sama turun ke kawasan-kawasan operasi untuk berbuka puasa bersama anggota yang sedang bertugas.

“Pendekatan ini memberi sokongan moral kepada mereka kerana anggota ATM kita tiada waktu cuti. Keamanan yang kita nikmati sekarang ini adalah usaha daripada anggota keselamatan kita.

“Namun paling penting, apa juga perlaksanaan majlis akan berlangsung dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana kita masih lagi dalam pandemik Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk Peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Artikel Berkaitan:

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz

Sebanyak 1,800 pek bubur lambuk diagihkan pada warga kerja Kementerian Pertahanan pada Jumaat dan program agihan akan diteruskan pada dua minggu berikutnya dengan sumbangan sebanyak 2,000 pek lagi bubur lambuk.

Muez berkata, pelbagai program lain turut dilaksanakan melalui KOR Agama Angkatan Tentera (KAGAT); Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita); Badan Amal Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Katanya, ia termasuk sumbangan bantuan perayaan kepada kakitangan sokongan, dan bantuan zakat kepada 200 asnaf.

“Sepanjang Ramadan juga program-program agama akan berterusan dengan lebih aktif. Termasuk majlis bacaan Yasin, khatam al-Quran dan ceramah dengan kerjasama KAGAT.

“Saya juga bercadang melaksanakan program sumbangan barangan keperluan asas yang telah saya mulakan sejak dilantik sebagai KSU di mana kita berikan barang-barang dapur termasuk ayam segar,”katanya.