X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di empat kawasan bermula esok

Ismail Sabri
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah; Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan; serta Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong, Pahang, bermula Sabtu hingga 30 April.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di kesemua kawasan itu dilakukan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), serta atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, KKM mengesahkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan tinggi, apabila setakat ini lima kes positif dilaporkan daripada sembilan ujian saringan di Taman Tawau Lama, manakala lapan individu didapati positif daripada 12 ujian saringan di Kampung Batu Payung.

Di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman Ismail Sabri berkata, secara kumulatif sebanyak 31 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti tersebut daripada 56 ujian saringan yang telah dilaksanakan setakat ini, justeru KKM mengesahkan berlaku penularan jangkitan dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Mengenai Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan pula, beliau berkata, KKM telah melakukan 420 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya, 15 kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu (di institut itu), selain masih terdapat 247 sampel ujian menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD di kesemua kawasan berkenaan adalah untuk sama ada memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal atau memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar, serta menyekat penularan Covid-19 di lokaliti terbabit dan ke komuniti luar.

Sementara itu, beliau berkata, 82 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Khamis, dengan kesemuanya dikompaun.

Bagi kawalan sempadan negara pula, beliau berkata, tiga pendatang asing tanpa izin ditangkap dalam Operasi Benteng pada Rabu, manakala empat kenderaan darat dirampas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!