Pemuda Pas Kelantan mahu SKMM sekat video judi dalam talian

Laporan polis dibuat untuk meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan.
Laporan polis dibuat untuk meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencipta video yang didakwa menghina hari kebesaran umat Islam dengan mempromosi serta menggalakkan judi secara talian.

Timbalan Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan, Jamal Najmuddin Sulaiman berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan mahu ia disekat daripada terus disiarkan dan dikongsi mana-mana pihak.

"Setelah saya meneliti kandungan video iklan raya tersebut, saya rasa amat terganggu dan tersinggung dengan agenda jahat untuk mempromosi aktiviti terlarang ini.

"Ia amat tidak wajar dan mencabar kemuliaan agama Islam. Iklan ini disebarkan di saat umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa.

"Penyebaran iklan judi yang mempergunakan remaja Melayu seolah-olah mencabar sempadan kesabaran umat Islam di negara ini," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, pada Jumaat.

Laporan polis berkenaan dibuat bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat dalam pembikinan video iklan tersebut.

Iklan berdurasi dua minit satu saat oleh sebuah syarikat perjudian didakwa mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda tular di media sosial.

Iklan tersebut turut didakwa menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai Muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu.

Artikel Berkaitan:

Video tersebut didakwa secara jelas mengajak umat Islam untuk terlibat dengan perjudian dan mempergunakan orang Melayu untuk keuntungan perniagaan mereka.

Mengulas lanjut, Jamal berkata, pihaknya berharap iklan berkenaan ditarik balik dan pihak syarikat membuat permohonan maaf di atas ketelanjuran menerbitkan iklan tersebut.

"Pihak SKMM dan kerajaan perlu bertindak segera. Semoga perkara ini tidak berulang lagi dan semua pihak hendaklah sentiasa menjaga sensitiviti agama-agama yang ada di negara ini," katanya.