Sabotaj air: Pengarah syarikat dibenar ikat jamin RM50,000

Mahkamah Rayuan membenarkan Lim Kian Aik, 43, diikat jamin sementara menunggu perbicaraannya di Mahkamah Tinggi. - Foto Bernama
Mahkamah Rayuan membenarkan Lim Kian Aik, 43, diikat jamin sementara menunggu perbicaraannya di Mahkamah Tinggi. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang pengarah syarikat yang menghadapi pertuduhan melakukan sabotaj dengan mendatangkan kemudaratan kepada perkhidmatan air di negeri Selangor melibatkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dibenar diikat jamin RM50,000 oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azizah Nawawi membenarkan Lim Kian Aik, 43, diikat jamin sementara menunggu perbicaraannya di Mahkamah Tinggi.

Keputusan majoriti oleh Hakim Azizah dan Datuk Supang Lian yang membenarkan permohonan Kian Aik untuk diikat jamin selepas memutuskan Kian Aik tertakluk di bawah Seksyen 13(2) (c) SOSMA yang memperuntukkan ikat jamin boleh diberikan kepada tertuduh yang sakit. Hakim Datuk Ghazali Cha pula menentang keputusan itu.

Hakim Azizah berkata, Kian Aik disahkan menderita sindrom koronari akut dan seorang pegawai perubatan dari klinik Penjara Sungai Buloh berpendapat bahawa dia (Kian Aik) berisiko tinggi menderita serangan jantung dan merupakan orang yang sakit dari perspektif perubatan.

Beliau membenarkan Kian Aik, 43, dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin dan mengarahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat seminggu sekali.

Pada 23 November tahun lepas, Kian Aik dan kontraktor R Nathan, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang terhadap pertuduhan melakukan sabotaj dengan niat untuk mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di negeri Selangor di premis No 32, Jalan Velox 2, Taman Velox, Rawang, Gombak, di sini antara 2 dan 10 November lepas.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran Sungai Selangor: Dua bakal berdepan penjara seumur hidup

Mereka juga menghadapi lima pertuduhan lain mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.

Artikel Berkaitan:

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Memandangkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan yang mengguna pakai prosedur SOSMA, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-kedua tertuduh.

Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, Kian Aik yang diwakili peguam Wan Kok Cheong berhujah bahawa anak guamnya yang telah ditahan di Penjara Sungai Buloh hampir enam bulan, menderita sindrom koronari akut dan perlu diberi ubat secara teratur dan akses berjumpa doktor.

Kok Cheong turut membentangkan laporan perubatan oleh Institut Jantung Negara (IJN) mengenai keadaan perubatan Kian Aik.

Beliau berkata, kes Kian Aik telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah menetapkan 23 April untuk pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Muhammad Azmi Mashud yang dibantu TPR Mohd Zain Ibrahim, berhujah permohonan ikat jamin Kian Aik harus difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kes itu telah dipindahkan ke mahkamah itu.

Kok Cheong memberitahu pemberita keluarga Kian Aik akan membayar ikat jamin itu. - Bernama