Pemandu lori ditahan bersama 12,864 tin arak seludup

Antara arak yang dirampas dalam tangkapan yang dijalankan.
Antara arak yang dirampas dalam tangkapan yang dijalankan.
A
A
A

KLANG - Seorang pemandu ditahan bersama 12,864 tin minuman arak seludup bernilai RM300,293.28 dalam sebuah lori di Jalan Idaman 24 di sini pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am, Superintendan Rizal Mohamed berkata, suspek berumur 23 tahun ditahan kira-kira jam 4.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di bahagian belakang kenderaan tersebut menemukan minuman keras yang dipercayai diseludup dan tidak bercukai.

"Jumlah keseluruhan minuman keras yang dirampas adalah sebanyak 12,864 tin bersamaan 6.432 liter dengan anggaran nilai barang adalah RM82,265.00 manakala nilai cukai adalah sebanyak RM122,208.28.

"Turut dirampas sebuah lori dan juga telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih kurang RM300,293.28," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Rizal berkata, tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Pandamaran untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

"Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu aktiviti pengedaran arak tidak bercukai sekitar daerah Klang, Selangor.

"Justeru masyarakat diminta memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan pada masa yang sama sentiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan rantaian virus Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: