Siasat menyeluruh kes pelajar lemas semasa kelas renang

Lee Lam Thye
A
A

KOTA KINABALU - Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye menggesa supaya siasatan menyeluruh diadakan berhubung kejadian seorang pelajar sekolah yang lemas semasa mengikuti kelas renang di Kompleks Sukan Likas di sini pada 13 Februari lepas.

Lam Thye yang juga anggota Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara berkata pihak berkuasa berkaitan perlu memulakan siasatan tentang perkara sebenar yang berlaku dan bagaimana seorang kanak-kanak lelaki berumur 14 tahun telah lemas.

Menurutnya hasil siasatan itu perlu diumumkan untuk berlaku adil kepada keluarga pelajar itu dan bagi kepentingan awam.

“Sekiranya tiada elemen jenayah, perlu pastikan sebab tiadanya penyeliaaan untuk menghalang mangsa daripada pergi ke kawasan kolam yang lebih dalam.

“Selain itu, perlu diturut dipastikan sama ada terdapat penyelamat akuatik yang bertugas dan sama ada protokol keselamatan dipatuhi,” katanya, yang turut mengucapkan takziah kepada anggota keluarga mangsa.

Lam Thye berkata jika sekolah dan kompleks sukan mempunyai protokol keselamatan, pasukan penyiasat perlu memeriksa sama ada ia mencukupi atau dipatuhi.

Mangsa dilaporkan mengikut kelas renang bersama-sama seorang guru, jurulatih renang dan sekumpulan pelajar lain apabila dia lemas.

Dia dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II pada tengah hari, dan disahkan meninggal dunia 38 minit kemudian selepas tidak memberi tindak balas kepada rawatan.

Lam Thye berkata kematian akibat lemas boleh dielakkan jika semua pihak bersikap proaktif dan tidak menunggu sehingga berlaku tragedi sebelum mengambil tindakan. - Bernama