Wajibkan syarikat p-hailing mencarum

Hamidah Osman
Hamidah Osman
A
A
A

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia mewajibkan semua syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan menggunakan motosikal atau p-hailing mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai langkah perlindungan.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, statistik yang dikeluarkan memperlihatkan kematian penunggang p-hailing yang begitu ramai dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau keadaan itu amat membimbangkan jika pencari rezeki untuk keluarga itu tidak dilindungi dalam konteks kebajikan.

"Kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memastikan kebajikan dan ahli keluarga mereka terjaga.

"Kita mendesak kerajaan mewajibkan syarikat penyedia perkhidmatan ini mencarum untuk penunggang. Selain menerima keuntungan, syarikat juga perlu bertanggungjawab menjaga kebajikan penunggang p-hailing ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, bagi tujuan itu, Putra akan mengemukakan memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia bagi mendesak supaya kerajaan membantu melindungi kebajikan pekerja p-hailing.

Jelasnya, syarikat penyedia perkhidmatan itu kini semakin bertambah kerana permintaan terus meningkat dari masa ke masa.

Hamidah berkata, tidak wajar tenaga penunggang ini diperah semata-mata untuk keuntungan sebaliknya kebajikan mereka terabai.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 April lalu, media melaporkan dua pertiga atau 1,684 daripada 2,576 kes kematian membabitkan penunggang motosikal dalam tempoh sembilan bulan pelaksanaan PKP, pada tahun lalu membabitkan golongan penghantar barang dan makanan atau p-hailing.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan 7,525 kes kematian jalan raya yang direkodkan dalam statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM)