69 tahfiz belum berdaftar: JBPM

Yahaya (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian majlis berkenaan.
Yahaya (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian majlis berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti terdapat 69 sekolah agama, tahfiz dan pondok di negeri ini yang masih belum berdaftar dengan pihak tersebut.

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, jumlah itu adalah berdasarkan sebanyak 154 fasiliti sekolah agama yang telah dikenal pasti aktif.

"Susulan berlakunya beberapa kejadian tidak diingini kebelakangan ini, kita telah menerima arahan daripada kerajaan untuk membuat pemeriksaan dan pemantauan kepada pusat-pusat ini.

"Ia juga menyahut saranan Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor yang mahukan pusat tahfiz ini sentiasa mendapat pemantauan. Sehingga kini hanya 85 pusat tahfiz yang berdaftar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Alat Pemadam Api dan Penyampaian Sijil Skuad Bomba Zon 1, di Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, di sini, hari ini.

Penyerahan tersebut adalah membabitkan sebanyak 42 tahfiz terletak di zon satu termasuk Kulai, Pontian dan Johor Bahru.

Bagaimanapun, Yahaya berkata, untuk tahfiz yang masih belum berdaftar, pihaknya tidak akan mengeluarkan apa-apa notis penutupan tetapi mahu pihak tersebut memberikan kerjasama.

"Mereka ini perlu datang bertemu kami. Sebab utama perkara ini perlu dilakukan kerana fasiliti ini selalunya kurang lengkap, kita mahu ada tahap siap siaga untuk sebarang kecemasan.

Artikel Berkaitan:

"Permasalahan utama dikenal pasti pada bangunan tahfiz adalah kebanyakannya dibangunkan tanpa mengambil kira aspek keselamatan.

Biasanya, ada tanah, dana, kelas dan tempat tinggal, tahfiz sudah beroperasi," katanya.

Katanya, pendaftaran tahfiz juga membolehkan setiap fasiliti tersebut mempunyai skuad bomba sendiri yang mana berfungsi sebagai agen kecemasan sekiranya berlaku kebakaran.

"Seramai 10 wakil dari setiap tahfiz akan dilatih dan bagi memastikan mereka mengetahui cara memadam api serta langkah menyelamatkan diri.

“Sijil dan peralatan memadam api saja tidak memadai tetapi mereka seharusnya memiliki pengetahuan bertindak ketika berlaku kecemasan," katanya.