'Lantikan timbalan menteri demi survival politik'

Syed Saddiq. Foto: Facebook Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq. Foto: Facebook Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan kerajaan melantik seorang lagi timbalan menteri memperlihatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih memikirkan survival politik, berbanding survival rakyat.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang hairan dengan tindakan itu berkata, pelantikan tersebut tidak akan membantu rakyat mengisi perut yang kosong.

“Kali ini, kerajaan nak lantik seorang lagi Timbalan Menteri untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Bukan sahaja sekarang rakyat tidak dibenarkan melancong, tapi saya hairan bagaimana kerajaan boleh melihat pelantikan seorang timbalan menteri pelancongan ini akan membantu rakyat mengisi perut yang kosong.

“Tapi kalau untuk rakyat, memang susah dan banyak halangan. Nak minta laptop yang dijanjikan kerajaan, sampai hari ini tak dapat. Nak tuntut bantuan e-wallet pelajar, tak tertunai lagi.

“Nak mohon bantuan kewangan, kerajaan suruh buka simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sendiri. Nak minta moratorium untuk tangguh sebentar bayaran kepada bank, tak lulus-lulus,” katanya dalam Facebook rasminya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menyindir, kerajaan mempunyai wang untuk melantik seorang lagi timbalan menteri, malah mempunyai banyak cara dan daya untuk hal-hal politik.

“Nak buat mesyuarat di negeri lain, boleh. Nak buat jelajah politik, boleh. Nak tutup Parlimen pun boleh. Jadi itulah keutamaan kerajaan hari ini.

“Menteri dan timbalan-timbalan menteri syukur dapat gaji dan jawatan. Rakyat pula hilang kerja, tutup kedai, kereta dan rumah kena lelong,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Guan Dee angkat sumpah Timbalan Menteri Persekutuan

Sinar Harian hari ini melaporkan, Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi mengangkat sumpah jawatan Timbalan Menteri Persekutuan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Sumpah Simpan Rahsia di Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur.

Guan Dee ketika ditemui selepas istiadat tersebut mengesahkan beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.