Permohonan Najib dapatkan dokumen kes 1MDB didengar 31 Mei ini

Najib ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk pengurusan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto Bernama
Najib ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk pengurusan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan pembabitan anggota keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bank pelaburan Amerika Goldman Sachs akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Mei ini.

Hakim, Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan lebih masa untuk menjawab permohonan yang difailkan oleh pihak pembelaan Najib.

"Kami terima surat sebab pada 12 April (permohonan kedua) dan kami memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk menjawab permohonan itu,” kata Mohamad Mustaffa semasa sebutan kes pada Jumaat.

Mohamad Mustaffa turut memberitahu mahkamah bahawa permohonan yang sama (berkaitan anggota keluarga Zeti) telah dijadualkan untuk pendengaran pada 20 Mei dan pihak pendakwaan mencadangkan supaya kedua-dua permohonan didengar bersama pada satu tarikh kemudiannya.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Pada 24 Mac, pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu memfailkan notis usul, antara lain meminta pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata bank dan lain-lain dokumen kepada pihak pembelaan, yang dipercayai berkaitan dengan ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho atau Jho Low, dan anggota keluarga Zeti.

Pada 5 April pasukan pembelaan Najib sekali lagi menfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs, yang dilaporkan antara lain mengatakan bahawa Goldman Sachs mencapai persetujuan dengan kerajaan Malaysia untuk membayar US$2.5bil (RM10.4bil) dalam bentuk tunai dan jaminan pemulangan aset 1MDB bernilai AS$1.4bil (RM5.8bil) yang dirampas di seluruh dunia, sebagai balasan bagi Malaysia menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap bank pelaburan Amerika itu.

Dalam afidavit yang disahkan oleh Najib, 67, bagi menyokong permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata pendedahan berhubung penyelesaian dengan Goldman Sachs itu penting dalam pembelaannya, dan hak beliau untuk perbicaraan yang adil.

Artikel Berkaitan:

“Dengan persetujuan antara Goldman Sachs dan kerajaan itu, saya khuatir penyelesaian itu boleh mengandungi klausa yang mewajibkan bank serta pekerjanya bekerjasama dengan pihak pendakwaan, dan kerjasama itu akan melibatkan pekerjanya dipanggil sebagai saksi perbicaraan 1MDB.

“Dalam keadaan sedemikian saya percaya klausa sedemikain dalam perjanjian penyelesaian Goldman Sachs mewajibkan serta memerlukan saksi itu memberi keterangan yang memihak kepada pihak pendakwaan, dan menyembunyikan bukti yang memihak kepada pembelaan saya,” kata Najib menerusi afidavitnya.

Najib turut memohon transkrip atau laporan forensik daripada perbualan telefon Tim Leissner, yang merupakan bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, serta data yang disimpan oleh pelayan (server) Goldman Sachs yang melibatkan komunikasi Leissner.

Najib, 68, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pangubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama. - Bernama