Iklan raya promosi judi: Pas gesa SKMM, PDRM bertindak

Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan segera terhadap iklan dan video lagu Hari Raya Aidilfitri yang diterbitkan oleh sebuah syarikat perjudian.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, video berdurasi kira-kira dua minit itu jelas mengajak kepada orang beragama Islam berjudi dan bergantung nasib dengan syarikat tersebut.

Menurutnya, perkara itu jelas telah melanggar Enakmen Jenayah Syariah yang menjadi kesalahan kepada umat Islam terlibat dengan aktiviti perjudian yang mencemarkan institusi agama.

"Belum reda isu majikan memukul pekerja disebabkan puasa, kini penghinaan kepada kemuliaan perayaan umat Islam pula.

"Aidilfitri adalah tanda kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa bagi tujuan meraih takwa daripada ALLAH SWT.

"Bukannya suatu perkara kecil yang boleh dicampur aduk dosa pahala dengan aktiviti perjudian yang sememangnya mendapat kemurkaanNya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata, Pas turut menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dan menyiasat pemilik serta barisan pelakon dalam video tersebut seterusnya mengenakan tindakan tegas.

"Perkara ini mesti dijadikan pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam agar memelihara kesucian agama Islam," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tular iklan Hari Raya Aidilfitri ajak berjudi

Iklan Aidilfitri ajak berjudi: SKMM digesa ambil tindakan tegas