Tokan dadah ditahan ketika tunggu pelanggan

Sebahagian paket kecil dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas dalam serbuan di Lorong Paya Sum, Sungai Udang, Melaka awal pagi Jumaat.
Sebahagian paket kecil dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas dalam serbuan di Lorong Paya Sum, Sungai Udang, Melaka awal pagi Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang tokan berstatus duda ditahan bersama seorang remaja perempuan di Lorong Paya Sum, Sungai Udang, di sini awal pagi Jumaat.

Dalam serbuan jam 6.10 pagi, kedua- dua suspek yang berusia 46 dan 16 tahun itu dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk menjual dadah di kawasan hutan belukar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Melaka Tengah telah menjumpai satu bekas bertutup warna kelabu dan di dalamnya terdapat paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah.

"Kita menemui lapan paket dipercayai dadah jenis heroin dan 17 paket disyaki dadah syabu yang berat kesemuanya lebih 200 gram dan dianggarkan berjumlah RM16,300 selain turut merampas sebuah motosikal Yamaha 135LC.

"Hasil ujian saringan air kencing dijalankan ke atas kedua- dua suspek mendapati mereka positif dadah," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, semakan mendapati suspek lelaki itu mempunyai 11 rekod lampau membabitkan kesalahan dadah bagaimanapun remaja perempuan itu tiada kesalahan lampau.

Menurutnya, remaja perempuan yang tidak lagi bersekolah itu disyaki digunakan suspek lelaki untuk mengedar dadah dan dikatakan baru aktif kembali sejak sebulan lalu.

"Kedua- dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.