20 individu dakwa ditipu tawaran kerja tidak wujud

M Zambri Mahmud
M Zambri Mahmud
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hasrat 20 wanita untuk bekerja di Pertubuhan Pencegahan Jenayah Kebangsaan tidak kesampaian apabila pekerjaan yang ditawarkan di pertubuhan itu sebenarnya tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, kesemua mangsa yang terdiri daripada suri rumah, penganggur dan peniaga itu mendakwa mengetahui pelbagai tawaran kerja selepas berkenalan dengan seorang lelaki bernama Ariffin Jusoh, 51, sejak Mac tahun lepas.

Menurut M Zambri, salah seorang mangsa berusia 35 tahun dari Manir, mendakwa mengenali suspek pada Mac tahun lalu ketika sedang makan di sebuah kedai di bandar bersama rakan-rakan yang turut menjadi mangsa.

"Suri rumah itu mendakwa mereka dihampiri suspek yang memperkenalkan diri sebagai Pengarah (Keamanan dan ketenteraman), Pertubuhan Pencegahan Jenayah Kebangsaan sebelum memaklumkan pertubuhan itu sedang mencari pekerja bagi mengisi pelbagai jawatan kosong di situ.

"Suspek seterusnya menyerahkan borang pendaftaran temuduga untuk diisi maklumat peribadi dan diminta menyerahkan pada hari sama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Jelas M Zambri lagi, seterusnya pada 22 Mac lepas, suspek menghubungi mangsa meminta memasukkan wang RM250 ke dalam akaun bank diberikan dengan alasan untuk bayaran uniform.

"Mangsa mengikut arahan suspek namun lelaki itu menghubunginya pada 9 April lepas, kira-kira jam 8.30 malam mengarahkan mereka ke Stadium Negeri segera untuk majlis penyerahan surat pelantikan.

"Setibanya di sana, mangsa merasakan ada sesuatu yang tidak kena selepas melihat suasana persekitaran yang gelap dan mengesyaki suspek menipunya.

Artikel Berkaitan:

"Suspek turut memberitahu mangsa yang dia tidak dapat masuk ke dalam stadium kerana tidak memakai uniform kerja," jelasnya.

M Zambri berkata, mangsa yang risau akan keselamatan dirinya mengambil keputusan untuk tidak menghadiri majlis penyerahan surat pelantikan itu dan pulang ke rumah.

"Bagaimanapun beberapa hari kemudian, dia dihubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan surat temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) akan dihantar menerusi emel.

"Bagaimanapun sehingga hari ini (Selasa), mangsa mendakwa masih tidak menerima surat dijanjikan dan yakin dia bersama rakan-rakannya sudah ditipu. Mangsa nekad membuat laporan polis pada Selasa," demikian kata M Zambri.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

M Zambri turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan lebih berhati-hati dengan tawaran yang diberikan terutama daripada individu tidak dikenali.