Peniaga Pasar Siti Khadijah bimbang pelaksanaan PKP

Penjarakkan sosial dan penggunaan pelitup muka menjadi keutamaan setiap pelanggan yang hadir ke pasar tersebut.
Penjarakkan sosial dan penggunaan pelitup muka menjadi keutamaan setiap pelanggan yang hadir ke pasar tersebut.
A
A
A

KOTA BHARU - Suasana di Pasar Siti Khadijah di sini lengang pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan tujuh daerah di Kelantan.

PKP membabitkan daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan 30.5 peratus di negeri ini dalam tempoh 14 hari.

Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat mendapati ramai di antara peniaga dilihat membaca surah Yasin dan al-Quran sementara menanti pelanggan di gerai mereka.

Ramai peniaga yang ditemui mengeluh kerana bimbang tidak mampu bertahan dengan keadaan ekonomi semasa.

Zira (kiri) tidak melepaskan peluang membeli bunga di gerai Sabariah.
Zira (kiri) tidak melepaskan peluang membeli bunga di gerai Sabariah.

Bagi peniaga bunga, Sabariah Adnan, 38, perniagaannya semakin merosot sejak seminggu yang lalu namun tetap membuka kedai seperti biasa.

“Walaupun tidak ada pelanggan sejak minggu lepas tetapi saya tetap membuka kedai. Ketika Ramadan, sambutan dingin tetapi kami terpaksa hadapi.

“Mereka yang datang pun penduduk dalam daerah ini saja. Kalau sebelum ini ramai yang dari luar daerah. Insya-ALLAH kita doakan Covid-19 cepat berlalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Peniaga beras, Maznah Mat Yusoff, 59, turut mengakui bekalan beras yang disediakan juga berkurangan daripada biasa.

“Saya jual apa yang ada sahaja. Bekalan agak susah tapi buat masa sekarang ini masih ada. Pelanggan tidak ramai, jadi cukuplah untuk memenuhi keperluan semasa sahaja.

"Sebelum ini ramai pembeli yang membawa balik bekalan ke Kuala Lumpur,” katanya.

Selain makanan basah, gerai buah-buahan di kawasan luar pasar juga tidak meriah seperti sebelum ini.
Selain makanan basah, gerai buah-buahan di kawasan luar pasar juga tidak meriah seperti sebelum ini.

Sementara itu, seorang pembeli yang ditemui, Zira Zaidi, 30, memberitahu, dia bimbang untuk ke pasar kerana peningkatan kes pandemik tersebut.

Bagaimanapun, dengan penjarakan sosial dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan ketiadaan bazar Ramadan dia memberanikan diri untuk keluar membeli makanan asas.

“Sebelum ini boleh membeli makanan di bazar Ramadan jika tidak mahu memasak. Apa yang penting, semua pihak bekerjasama jaga diri sepanjang berada di kawasan tumpuan ramai seperti ini,” katanya.