X

Kindly register in order to view this article
!

SKMM arah platfom media sosial turunkan video raya promosi judi

Kenyataan SKMM
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Jumaat telah berkomunikasi dengan penyedia platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan video raya yang mempromosikan judi.

Langkah itu diambil selepas tular satu klip video iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh sebuah syarikat perjudian yang mengajak umat Islam berjudi pada Ramadan.

SKMM melalui kenyataan pada hari sama memaklumkan penurunan klip video berkenaan akan dibuat berdasarkan terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan penyedia platform yang berpangkalan di luar negara.

Menurut SKMM lagi, kegiatan dan promosi judi dalam talian tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Penghasilan kandungan tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terlibat dengan penghasilan dan pengedaran kandungan," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, sejak 12 Mac lalu pihaknya telah menyekat secara laluan pantas (fast-track) dengan kerjasama PDRM untuk mengarahkan penyedia perkhidmatan internet menyekat akses ke atas laman sesawang yang melanggar undang-undang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular iklan Hari Raya Aidilfitri ajak berjudi

"Pada masa yang sama, mereka yang terlibat termasuk pihak produksi dan pelakon seharusnya lebih peka untuk tidak bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian dan jelas menjadi satu kesalahan," katanya.

Tambah kenyataan itu, dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia majmuk.

"Pengguna media sosial juga perlu lebih bertanggungjawab dengan melaporkan perkara berkaitan secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan dan bukan menyebarluaskan kandungan berkenaan.

"Perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam menyebarkan dakyah mereka mempromosikan perjudian dalam talian sekali gus memudaratkan masyarakat," kata SKMM.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!