71 wartawan ditahan di Myanmar sejak Februari

Polis menahan orang awam di Yangon, Myanmar pada 27 Februari 2021. Sekurang-kurangnya 71 wartawan ditahan pihak berkuasa Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada Februari lalu. - Foto AFP
Polis menahan orang awam di Yangon, Myanmar pada 27 Februari 2021. Sekurang-kurangnya 71 wartawan ditahan pihak berkuasa Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada Februari lalu. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Sekurang-kurangnya 71 wartawan ditahan pihak berkuasa Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada Februari lalu, lapor Sputnik memetik jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric dalam taklimat media pada Khamis.

"Menurut rakan kami di Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO), 71 wartawan telah ditahan di Myanmar, dengan lebih separuh daripadanya masih ditahan sejak awal Februari," kata Dujarric.

Beliau berkata, kira-kira 24 orang didakwa atas tuduhan menyebarkan berita palsu.

"Pasukan kami di lapangan bimbang dengan nasib wartawan dan ribuan rakyat yang ditahan sewenang-wenangnya, kebanyakannya hilang tanpa dapat dikesan," kata jurucakap itu.

Pada 1 Februari, tentera Myanmar menggulingkan kerajaan dan mengisytiharkan perintah darurat selama setahun dan sejak itu sekurang-kurangnya 707 orang telah menjadi korban, menurut PBB. - Bernama

Artikel Berkaitan: