Pas nafi tandatangani surat tak sokong UMNO

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
A
A

KEMAMAN - Pas menafikan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Pas menandatangani perjanjian bertulis untuk tidak menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih pada 2 Mac depan.

Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu sebagai perang psikologi menjelang PRK berkenaan.

Ahmad Samsuri berkata, surat yang ditandatangani itu sebenarnya perakuan Pas menyokong kepimpinan Dr Mahathir dalam memperkasakan agenda Islam, Melayu dan rakyat keseluruhannya.

"Jadi Pas berdiri di belakang perdana menteri dalam agenda itu dan tiada kaitan dengan PRK DUN Semenyih.

"Ia sama juga dengan (sokongan) kita sebelum ini bila kita menyokong pandangan perdana menteri yang tidak bersetuju ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pendedahan Dr Mahathir mengenai perkara itu semalam.

Ahmad Samsuri ditemui pada Majlis Penyampaian Geran Tanah Daerah Kemaman kepada seramai 80 penerima di Dewan Seri Amar, Chukai, di sini, sebentar tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tidak sokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih: Mahathir

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO percaya Pas, bukan Tun Mahathir

Dalam pendedahan mengejutkan itu, Dr Mahathir berkata, Pas tidak akan memberi sokongan kepada Umno dalam PRK DUN Semenyih.

Katanya, pendirian Pas itu dibuat secara bertulis dan ditandatangani sendiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pertemuan antara mereka yang berlangsung kira-kira 45 minit di Pejabat Perdana Menteri di Yayasan Al-Bukhary kelmarin.

Pertemuan itu turut disertai Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, Pas akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pertemuan itu pada sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Pas Pusat di Kuala Lumpur selesai petang ini.