Wanita 71 tahun rugi RM18,000 gara-gara Love Scam

Seorang warga emas kerugian RM18,000 selepas ditipu sindiket Love Scam. - Foto 123RF
Seorang warga emas kerugian RM18,000 selepas ditipu sindiket Love Scam. - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Seorang warga emas berusia 71 tahun kerugian RM18,000 selepas ditipu sindiket Love Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa seorang suri rumah mula berkenalan dengan suspek di laman sosial Facebook sejak 27 Mac lalu sebelum berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa dia akan belayar menaiki kapal kargo untuk pergi ke Jepun bagi menjalankan projek membuat landasan kereta api.

"Suspek memberitahu mangsa bahawa dia telah ditahan dan dibawa ke Pelabuhan Melaka, kemudian meminta tolong mangsa membuat bayaran untuknya agar dilepaskan.

"Mangsa yang percaya telah meminta bantuan anak saudaranya membuat bayaran sebanyak tujuh kali transaksi berjumlah RM18,000 ke tiga akaun bank berbeza," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, selepas membuat bayaran tersebut, suspek masih meminta wang daripada mangsa atas alasan dia telah ditahan oleh kastam kerana membawa sejumlah wang yang banyak.

"Mangsa sekali lagi telah meminta bantuan anak saudaranya untuk membuat bayaran kepada suspek, namun anak saudaranya enggan berbuat demikian dan memaklumkan mangsa telah diperdaya.

"Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak pada Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Sundra Rajan, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta melalui laman sosial bagi menggelakkan diri menjadi mangsa penipuan.