Harga air jual kepada Singapura tak munasabah

Dr Mahathir semasa perasmian Dasar Komuniti Negara di Padang Awam Taman Puchong Indah, di sini, hari ini.- Foto Bernama
Dr Mahathir semasa perasmian Dasar Komuniti Negara di Padang Awam Taman Puchong Indah, di sini, hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

PUCHONG - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan harga semasa jualan air kepada Singapura sebagai tidak munasabah.

Beliau turut mempersoalkan sampai bila harga yang ditetapkan pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah sejak 1962 itu akan berterusan.

"Kalau nak kira harga ditentukan pada 1962 masih kekal. Adakah munasabah? Saya ingat tak munasabah. Sampai bila?," katanya dalam sidang media selepas perasmian Dasar Komuniti Negara di Padang Awam Taman Puchong Indah, di sini, hari ini.

Menurut Perjanjian Air 1962 antara Malaysia dan Singapura, yang tempohnya berakhir 2061, Malaysia membekalkan Singapura 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen setiap 1,000 gelen.

Malaysia kemudian membeli semula air yang dirawat Singapura pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Menurut Dr Mahathir, penetapan harga hendaklah bersesuaian dan mengikut keadaan semasa.

"Dulu satu sen boleh beli banyak barang tapi sekarang tak boleh beli apa. Tiga sen pun tak boleh beli apa.

"Sepatutnya harga barang kena ikut keadaan semasa. Hari ini kita tidak bercakap pasal milionaire lagi tetapi bilionaire kerana pendapatan manusia sudah meningkat lebih tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memaklumkan rundingan dengan kerajaan Singapura berkenaan isu air akan diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

"Kita sedang berusaha dan tentukan supaya kumpulan kita ini termasuk pegawai dari Johor tapi yang akan ketuai ialah Saifuddin," katanya.