Empat anggota MPPD direman enam hari

Kesemua suspek diiring pegawai SPRM di mahkamah.
Kesemua suspek diiring pegawai SPRM di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Empat anggota Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang suapan daripada penjaja.

Kesemua individu lelaki berusia dari 36 hingga 53 tahun itu direman bermula Jumaat hingga Rabu depan.

Perintah reman terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Mas Azmimin Ahmad selepas permohonan dibuat oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim pada Jumaat.

Menurut sumber, kesemua mereka bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pembantu penguat kuasa.

Difahamkan mereka disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada penjaja pasar pagi dan malam di sekitar Lukut dan Port Dickson sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penjaja yang tidak berlesen.

Mereka ditahan pada jam 2 petang ketika berada di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat anggota MPPD ditahan SPRM

Artikel Berkaitan: