Dasar Komuniti Negara wujudkan masyarakat berdaya saing

Foto Bernama
A
A

PUCHONG – Dasar Komuniti Negara yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bertujuan mewujudkan komuniti yang mempunyai anggota masyarakat berdaya saing dan memiliki satu perasaan kebersatuan bagi membolehkan komuniti hidup dalam keadaan harmoni, sejahtera dan cemerlang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata kementerian mahu melihat sebuah komuniti yang aktif dalam penjagaan kebersihan kawasan, keselamatan awam, kesedaran sivik yang tinggi, kemahiran sosial yang baik, bersahsiah tinggi serta mengamalkan budaya tegur-menegur menerusi pelaksanaan dasar ini.

“Antara penggerak utama dasar ini adalah penubuhan Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti di semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara secara berperingkat dengan projek rintisnya di PPR Lembah Subang 2, empat bulan lepas dan seterusnya sebanyak 19 daripada 133 PPR di seluruh negara turut mempunyai pejabat Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti sendiri.

“Penubuhan pejabat ini adalah satu langkah pembangunan jangka masa panjang untuk mewujudkan masyarakat mempunyai kesedaran sivik yang tinggi (kebersihan dan penjagaan harta awam), tetapi juga sebagai penggerak kepada pembangunan setiap individu dalam komuniti itu sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Dasar Komuniti Negara di sini, hari ini.

Zuraida berkata pelaksanaan Dasar Komuniti Negara akan tertumpu kepada lapan kluster utama iaitu infrastruktur dan penyelenggaraan; kebersihan, alam sekitar dan kesihatan; keselamatan; pendidikan dan kemahiran.

Kluster lain adalah keprihatinan terhadap golongan terpinggir (orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, kanak-kanak, warga emas, dan daif); perkhidmatan sosial; keusahawanan dan perniagaan sosial; serta sukan dan rekreasi.

Bagi menjayakan hasrat berkenaan, Zuraida mempelawa jabatan dan agensi kerajaan, sektor korporat, institusi pendidikan, persatuan berdaftar dan badan profesional terlibat dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) CSR bagi meningkatkan kualiti kehidupan anggota masyarakat di PPR.

“Agensi dan syarikat-syarikat yang telah menyumbang dapat menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih banyak pihak lain untuk mengambil kawasan-kawasan PPR tertentu sebagai kawasan ‘anak angkat’ mereka dengan mengadakan program-program pembangunan agar hasrat untuk membentuk generasi dan komuniti mampan dapat direalisasikan,” katanya.

Dasar Komuniti Negara adalah satu inisiatif KPKT untuk memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan dengan cara holistik serta sebagai pelengkap kepada dasar-dasar pembangunan fizikal yang ada sebelum ini.

Zuraida berkata KPKT bukan sahaja ingin membina rumah semata-semata, tetapi juga ingin melihat pembangunan komuniti daripada pelbagai aspek antaranya daripada sudut pemberdayaan ekonomi, sosial, pendidikan dan pengukuhan jati diri yang padu dalam kalangan anggota masyarakat.- Bernama