X

Kindly register in order to view this article
!

55 tahun FELCRA terus unggul

FELCRA komited untuk mengkaji jenis-jenis tanaman bersesuaian terutamanya jenis baharu selain getah dan kelapa sawit. (Gambar kecil: Mohd Nazrul Izam Mansor )
A
A

FELCRA Berhad (FELCRA) yang ditubuhkan sejak 55 tahun lalu terus unggul dan memberikan manfaat kepada Peserta FELCRA dan masyarakat khususnya di luar bandar.

Seiring dengan peredaran masa dan peranannya sebagai pemangkin pembangunan luar bandar, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazrul Izam Mansor melakukan transformasi terhadap FELCRA selepas diamanahkan untuk menerajuinya.

Bermula 15 Mac 2021, konsep ‘Menuju FELCRA Baharu’ telah diperkenalkan kepada seluruh warga kerja FELCRA untuk memperkasakan peranan FELCRA kepada negara sekali gus memacu ekonomi negara. Ikuti temu bual Sinar Harian bersama Mohd Nazrul baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Adakah FELCRA melakukan rombakan dalaman dan meneruskan penstrukturan semula untuk melaksanakan transformasi dan mencapai sasaran FELCRA dalam jangka masa panjang?

MOHD NAZRUL: Alhamdulillah, FELCRA mengadakan sesi townhall secara maya pertama pada 15 Mac 2021 dan memberikan peluang kepada lebih 18,000 warga kerja FELCRA di seluruh negara untuk bersama-sama memahami aspek penting usaha transformasi ‘Menuju FELCRA Baharu’.

Kami memperkenalkan aspek utama dalam usaha transformasi ini iaitu pengasingan struktur dan fungsi syarikat. Ramai yang berpendapat FELCRA sebagai agensi kerajaan setelah hampir 55 tahun diberikan mandat masih pemangkin pembangunan masyarakat luar bandar melalui projek-projek terancang, walhal ianya hanya termaktub sebagai badan berkanun dari tahun penubuhannya iaitu 1966 sehinggalah dikorporatkan pada tahun 1997 iaitu selama 31 tahun.

FELCRA telah dikorporatkan pada 1 September 1997 dan sejak 24 tahun lalu, FELCRA menjadi entiti korporat syarikat milik penuh kerajaan melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan). FELCRA tidak menerima sebarang perbelanjaan mengurus dari kerajaan setelah ia dikorporatkan. Demi menampung kos keseluruhan syarikat, FELCRA bergantung kepada perolehan daripada aktiviti bisnes komersial.

Pada masa sama bajet pembangunan yang diperuntukkan kepada Peserta FELCRA dari tahun ke tahun sebenarnya adalah berbentuk pinjaman kerajaan kepada FELCRA. Seterusnya ia dipinjamkan semula kepada Peserta FELCRA untuk menampung kos pembangunan tanah milik mereka.

Selaras dengan status FELCRA sebagai entiti korporat, pengasingan struktur dan fungsi syarikat merupakan aspek penting yang sepatutnya telah dinilai semula sejak dikorporatkan dan kini menjadi fokus kepada transformasi ‘Menuju FELCRA Baharu’.

Apakah yang dimaksudkan pengasingan struktur dan fungsi syarikat?

Struktur FELCRA sebelum ini menyaksikan kegiatan penyatuan dan pemulihan tanah dan kegiatan komersial yang bergerak selari. Kadangkala terlalu berkait rapat sehingga tidak dapat diasingkan dan menimbulkan impak negatif dari segi pengurusan dana dan kewangan.

Bermula pada 15 Mac 2021, struktur FELCRA kini jelas. Bahagian Operasi Mandat Sosial akan terus bertanggungjawab menyatu, memulih dan membangunkan tanah-tanah terbiar sama ada milik individu mahupun kerajaan negeri.

Pada masa yang sama meningkatkan pendapatan kumpulan sasar melalui aktiviti agrikultur dan komersial demi pembangunan sosial Peserta FELCRA.

Sumber pendapatan Bahagian Mandat Sosial ini diperoleh daripada caj pengurusan ladang Peserta antara 6.5 peratus hingga 13 peratus daripada jumlah perolehan setiap projek Peserta.

Pada masa sama Bahagian Operasi Komersil pula melibatkan Kumpulan Perladangan Komersial, Kumpulan Hartanah, Kumpulan Baja, Kumpulan Perniagaan Pelbagai dan Perkhidmatan serta usaha Juara Sekuriti Makanan Negara akan bergerak selari secara kolaboratif demi memacu dan menjana keuntungan.

Prinsip-prinsip utama kejelasan ini adalah memastikan setiap Bahagian fokus kepada skop mereka yang khusus, memastikan tiada kesilapgunaan dana yang diamanatkan untuk mandat sosial ke arah keperluan usaha komersial, menyediakan peluang kepada Bahagian Operasi Komersil untuk turut menyumbang keuntungan yang diperolehi melalui pelbagai perniagaan buat manfaat mandat sosial, dan yang terutamanya, memastikan tadbir urus bersesuaian diterapkan kepada fungsi berkenaan.

Ia memberi manfaat mandat sosial dan memastikan tadbir urus bersesuaian diterapkan kepada fungsi berkenaan.

Apakah elemen penting yang diterapkan kepada kakitangan FELCRA untuk mencapai fokus FELCRA pada tahun 2021?

Selari dengan usaha ‘Menuju FELCRA Baharu’, kami telah memperkenalkan lima nilai utama yang akan memacu usaha setiap warga kerja FELCRA yang dikenali sebagai P.R.I.D.E-Pemacuan Prestasi, Responsif, Integriti, Disiplin dan Etika. Nilai-nilai P.R.I.D.E ini dilihat sebagai pemangkin pencapaian prestasi lebih baik melalui kolaboratif antara semua bahagian tanpa birokrasi.

Dengan kolaborasi yang erat, setiap warga kerja FELCRA dilihat akan menjadi lebih responsif dalam menangani tugasan harian dan tanggungjawab bersama.

Seterusnya, warga kerja FELCRA akan dapat menjalankan tugas dengan penuh integriti dan memahami impak kerja masing-masing secara kolaboratif kepada ekosistem dalaman dan luaran FELCRA.

Dalam setiap usaha yang dimulakan, elemen disiplin akan diterapkan agar dapat memastikan setiap kerja yang dimulakan akan diladeni sehingga betul-betul selesai.

Setiap usaha yang dimulakan dengan matlamat untuk mencapai Prestasi yang baik, dengan secara Responsif, dipenuhi oleh integriti dan dengan disiplin yang tinggi insya-ALLAH akan berlandaskan etika-etika yang terpuji dan menjadi contoh kepada semua. Itulah matlamat P.R.I.D.E demi Menuju FELCRA Baharu.

Apakah pelan strategik yang dirangka untuk merealisasikan agenda ‘Menuju FELCRA Baharu’?

Beberapa lantikan strategik dalaman telah berlangsung dengan asas tugasan secara outcome-based dan result-oriented. Matlamat utama FELCRA ialah menjana keuntungan dan pulangan setimpal kepada Peserta, keuntungan syarikat setanding dengan syarikat perladangan besar dan aliran tunai yang positif pada setiap masa.

Lembaga Pengarah FELCRA telah memberikan setiap lantikan strategik ini jangka masa enam bulan untuk membuktikan keupayaan mereka dalam memimpin dan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

Pada masa sama FELCRA komited untuk mengkaji jenis-jenis tanaman bersesuaian terutamanya jenis baharu selain getah dan kelapa sawit. Kami akan mengkaji semula kos operasi bagi memastikan ia memberikan pulangan yang terbaik buat setiap pemegang taruh terutamanya Peserta FELCRA.

Dalam usaha meningkatkan pendapatan syarikat, Pelan Pemulihan Operasi telah diperkenalkan dan diterapkan dalam setiap aspek operasi syarikat secara serta-merta untuk menangani wujudnya suasana ketidaktentuan yang dikenali sebagai VUCA (Volatile, Uncertain, Complex dan Ambiguous).

Apakah pelan jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang dirancang bagi memastikan pemerkasaan FELCRA berjalan lancar?

Demi kelangsungan syarikat dan ke arah mencapai kelestarian, usaha-usaha untuk menstrukturkan kembali hutang-hutang yang membebani FELCRA perlu juga dihargai.

Perbincangan mendalam berhubung perkara ini telahpun dimulakan sejak 2018 bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dan antara aspek yang perlu dipandang serius adalah hutang-hutang FELCRA Berhad kepada pembekal-pembekal dan kontraktor-kontraktor yang terlalu lama tertunggak disebabkan model perniagaan FELCRA sebelum ini yang tidak mampan dan juga disebabkan oleh sesetengah projek Peserta yang berada dalam kerugian.

Perbincangan mendalam bersama MOF, EPU dan KPLB ini adalah tersangat penting demi memastikan bahawa hutang yang sedia ada boleh dibayar kembali secara berstruktur.

FELCRA Berhad juga perlu mengkaji semula Perjanjian Pengkorporatan yang termeterai pada tahun 1997, untuk menilai kembali jika keadaan ekonomi semasa,serta faktor-faktor dalaman dan luaran yang boleh memberikan impak negatif dapat dibendung dan ditangani melalui kaedah yang lebih relevan. Tumpuan diberikan untuk meningkatkan prestasi penjagaan dan pengeluaran ladang, kilang-kilang sawit mentah dan baja kami dan pengurusan kos yang mantap.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!