Pendeposit SSPN-i terima perlindungan takaful RM24,922.42

Noraini (dua dari kanan) dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid beramah mesra bersama isteri Yazirruddin, Halimah Muhabah (kanan) sebelum sesi penyerahan manfaat perlindungan takaful SSPN-i.
Noraini (dua dari kanan) dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid beramah mesra bersama isteri Yazirruddin, Halimah Muhabah (kanan) sebelum sesi penyerahan manfaat perlindungan takaful SSPN-i.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan manfaat perlindungan takaful sebanyak RM24,922.42 kepada Pegawai Audit Dalam, Yazirruddin Md Som setelah disahkan mengalami keilatan kekal menyeluruh.

PTPTN dalam satu kenyataan pada Khamis memberitahu, Yazirruddin mengalami keilatan kekal menyeluruh akibat darah tinggi sejak lima tahun lalu dan layak menerima manfaat tersebut.

Menurut kenyataan itu, Yazirrudin merupakan pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) yang telah membuka akaun pada 29 Disember 2011 dan 30 Oktober 2015 untuk dua orang anaknya.

“Inilah keistimewaan SSPN-i yang memberikan perlindungan takaful percuma secara ringgit ke ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada mereka.

“Selain itu, khairat kematian berjumlah RM2,000 juga diberikan sekiranya berlaku kematian atas pendeposit dan RM500 atas kematian penerima manfaat (anak),” menurut kenyataan tersebut.

Penyerahan itu telah disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di kediaman Yazirrudin di Kampung Jalan Kebun, di sini.

Jelas kenyataan itu lagi, nilai manfaat tersebut sememangnya tidak dapat mengembalikan kesihatan seorang bapa, namun ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Justeru, beliau telah membuat pilihan yang tepat dengan menyimpan di dalam SSPN-i bagi memastikan masa depan keluarga terus terjamin,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

SSPN-i menawarkan keistimewaan lain kepada semua pendeposit.

“Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, geran sepadan dan patuh syariah serta dijamin oleh kerajaan.

“Sehingga Februari lepas, sebanyak 4.86 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM8.28 bilion,” katanya.