Penunjuk perasaan anti rampasan kuasa Myanmar berlindung di masjid

Penunjuk perasaan anti rampasan kuasa tentera menyelamatkan diri selepas pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata di Yangon - Foto AFP
Penunjuk perasaan anti rampasan kuasa tentera menyelamatkan diri selepas pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata di Yangon - Foto AFP
A
A
A

YANGON - Seorang pejalan kaki terbunuh apabila pasukan tentera melepaskan tembakan ke arah para pekerja kesihatan di Mandalay pada Khamis sehingga menyebabkan para penunjuk perasaan anti rampasan kuasa melarikan diri ke sebuah masjid untuk mendapatkan perlindungan.

Pada mulanya, tunjuk perasaan di bandar kedua terbesar di Myanmar itu diadakan dalam keadaan aman sebelum bertukar menjadi ganas apabila askar-askar melepaskan tembakan menyebabkan mereka melarikan diri ke sebuah masjid untuk menyelamatkan diri.

"Mereka (anggota-anggota tentera) melepaskan tembakan. Mereka menyasarkan kawasan pekarangan Masjid Sule kerana orang ramai yang berada di sana menyembunyikan para penunjuk perasaan," kata seorang saksi.

Seorang lelaki berusia 30 tahun mati ditembak dan sekurang-kurangnya dua orang lagi mengalami kecederaan, kata seorang doktor yang merawat mangsa-mangsa cedera ekoran kejadian tembakan itu.

"Lelaki itu mati akibat ditembak di bahagian belakang badan dan ia (peluru) menembusi dadanya," katanya kepada AFP.

Seorang doktor yang menyertai tunjuk perasaan itu berkata, beliau melihat sejumlah jururawat dan doktor ditangkap dalam kejadian itu.

"Kami terputus hubungan dengan sebahagian anggota perubatan kami," katanya kepada AFP.

Para pekerja kesihatan adalah kumpulan barisan hadapan kakitangan awam yang menentang rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu dan mereka enggan kembali bekerja di bawah pemerintahan tentera.

Artikel Berkaitan:

Pemimpin parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi yang juga bekas Penasihat Negara dan mantan Presiden Myanmar, Win Myint serta beberapa pemimpin NLD turut ditangkap pihak tentera.

Kesemua mereka ditangkap selepas parti NLD menang besar dalam pilihan raya umum di negara itu pada November tahun lalu tetapi pihak tentera mendakwa ia dicemari dengan penipuan namun dinafikan oleh Suruhanjaya Kesatuan Pilihan Raya Myanmar.

Semua kakitangan awam turut menyertai bantahan anti rampasan kuasa tentera menyebabkan bank-bank, sekolah-sekolah, perkhidmatan kereta api dan perniagaan ditutup.

Pada Khamis, media kerajaan melaporkan, sekurang-kurangnya 20 doktor yang membantah rampasan kuasa tentera itu akan didakwa kerana menyebabkan kestabilan dan keamanan terjejas di negara itu. - Agensi