X

Kindly register in order to view this article
!

Khairul Hafiz sudah jawab

Khairul Hafiz mencipta sensasi apabila meraih pingat emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
A
A

PEMEGANG rekod 100 meter (m) kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan sudah menghantar surat penjelasan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berhubung hasrat untuk kembali 'berguru' bersama jurulatih, Mohd Poad Md Kassim.

Khairul Hafiz, 22, berkata, dia turut menyatakan sebab-sebab yang mempengaruhi keputusannya untuk kembali menjalani latihan di bawah bimbingan Mohd Poad dalam surat berkenaan, namun enggan mendedahkan secara terperinci.

Jelasnya, perbincangan mengenai perkara itu antara beliau, KOM, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Mohd Poad dan Pengarah Teknikal KOM, Dwayne Miller masih berjalan dan ia berlangsung dengan baik.

"Surat kepada KOM sudah dihantar dan saya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa ada sebarang pengesahan. Apa boleh saya katakan semuanya berjalan mengikut prosedur betul dan saya harap ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya pada Khamis.

Terdahulu, KOM menuntut penjelasan Khairul Hafiz dan pemegang gelaran Raja Pecut Asia Tenggara, Muhammad Haiqal Hanafi berhubung hasrat mereka untuk kembali ke pangkuan bekas jurulatih Mohd Poad selepas lebih tujuh bulan berlatih di bawah Miller di Bukit Jalil sejak Ogos tahun lepas.

Sementara itu, Khairul Hafiz yang diberi julukan 'The Speedy Jantan' sudah menjangkakan isu perpindahannya dari Bukit Jalil akan mendapat perhatian, namun dia tidak tertekan malah berharap perkara itu tidak diperbesarkan sehingga boleh mengeruhkan keadaan.

"Saya tidak berasa tertekan, keputusan ini saya buat sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Ia dibuat berdasarkan pengalaman semasa dalam latihan bersama dua jurulatih berbeza," jelas pemenang pingat emas 100m Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur itu.

Isnin lepas, Bernama melaporkan Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal masing-masing menyifatkan keputusan untuk kembali ke pangkuan Mohd Poad sebagai langkah terbaik demi kemajuan prestasi dalam tempoh jangka panjang dengan aspek keserasian yang telah terbina menjadi faktor utama.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada KOM membuat keputusan yang tepat menempatkan Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal bersama semua atlet pecut elit kebangsaan secara berpusat di bawah Miller di MSN, Bukit Jalil.

Berasal dari Amerika Syarikat, Miller mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kejurulatihan dan pernah membantu atlet Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua pingat emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x400m dengan memecahkan rekod Olimpik.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!