Rakyat sokong tetapi kecewa

Sekatan Jalan Raya (SJR) di pintu gerbang sempadan negeri Pahang dan Terengganu di Kampung Chendor ketika tinjauan pada Khamis. - Foto Bernama
Sekatan Jalan Raya (SJR) di pintu gerbang sempadan negeri Pahang dan Terengganu di Kampung Chendor ketika tinjauan pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri tahun ini ditangguhkan susulan situasi penularan pandemik Covid-19 masih membimbangkan ketika ini.

Walaupun menyokong cadangan berkenaan, rata-rata daripada mereka melahirkan perasaan sedih dan kecewa kerana tidak dapat pulang beraya di kampung halaman masing-masing.

Penerbit Program Bernama TV, Riyadh Zuhdi Loksin, 30, berkata, dia berasa sedih kerana tidak dapat pulang beraya bersama keluarga di kampung buat kali kedua di Kedah sejak pandemik ini berlaku.

Riyadh Zuhdi Loksin
Riyadh Zuhdi Loksin

“Tahun lepas beraya di Kuala Lumpur sahaja dan tahun ini pun sama. Saya juga tidak dapat pulang menziarahi pusara arwah ayah saya yang meninggal dunia pada Januari lalu.

“Sudah tentu saya terkilan apabila tidak dapat pulang ke kampung halaman. Tapi demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, terpaksa berkorban sekali lagi tahun ini supaya kita dapat mengekang virus Covid-19 sehabis baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.KKM mencadangkan pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri tahun ini ditangguhkan susulan situasi penularan pandemik Covid-19 masih membimbangkan ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM cadang rentas negeri sambut Hari Raya Aidilfitri ditangguh

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia berikutan rungutan serta rayuan pelbagai pihak agar kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Seorang pensyarah, Mohd Yusof Zulkefli, 31, menyifatkan cadangan berkenaan adalah baik demi keselamatan semua pihak dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Mohd Yusof
Mohd Yusof

Bagaimanapun, Mohd Yusof mempersoalkan sampai bila pergerakan berkenaan akan disekat oleh kerajaan.

“Rakyat sudah mula naik muak dan disebabkan itu ramai yang mula menipu demi untuk merentas negeri. Namun masih ramai yang akur akan ketetapan yang dibuat.

“Memendam rasa bagi yang berjauhan dengan ibu bapa mahupun anak isteri atau suami. Mahu menipu seperti orang lain demi kepentingan diri sendiri, tidak sanggup. Tetapi, sampai bila mahu disekat?” soalnya.

Menurutnya, perlu ada satu mekanisme yang membenarkan rentas negeri dari kawasan hijau ke kawasan hijau lain.

Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Taufiq Irwan, 28, menyokong cadangan KKM kerana masyarakat kini mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dan bersesak-sesak seperti di bazar Ramadan.

Muhammad Taufiq
Muhammad Taufiq

“Ini boleh menyebabkan kes Covid-19 meningkat semula dalam beberapa hari. Jadi, wajar KKM menangguhkan cadangan rentas negeri nanti.

“Namun, agak sedih juga apabila tidak dapat beraya di kampung halaman,” katanya yang berasal dari Melaka.

Pensyarah, Muhamad Qamar Rahman Md Isa, 31, turut menyokong cadangan daripada KKM berhubung penangguhan kebenaran merentas negeri kerana kes Covid-19 belum stabil.

Muhamad Qamar
Muhamad Qamar

“Bagi menurunkan kes, kita perlu kawal pergerakan dan masih belum boleh bebas untuk bergerak. Ya, semua orang nak beraya bersama keluarga.

“Tapi kita juga tidak mahu menjadi penyebab penularan wabak ini terhadap orang sekeliling kita,” katanya.

Pekerja swasta, Ruziana Salleh, 31, asal dari Kelantan berkata, dia berasa sedih sekiranya pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri ditangguhkan.

Ruziana
Ruziana

“Sudah pasti berasa sedih kerana tidak dapat berpuasa dan berhari raya bersama keluarga.

“Emosi pun tidak stabil sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan tahun lalu kerana nilai kebebasan bergerak disekat,” katanya yang telah membeli dua pasang baju raya.

Seorang lagi pensyarah, Nor Arinah Mohamed Zemudin, 31, turut berasa sedih apabila mendengar cadangan penangguhan pergerakan rentas negeri itu.

Bagaimanapun, dia tetap reda sekiranya itu yang terbaik bagi mengekang Covid-19 di negara ini.

“Ini tahun kedua saya beraya di Perlis. Jauh daripada keluarga yang tinggal di Kelantan,” katanya.