Selangor peneraju pendidikan janin

A
A
A

STATUS program Technical and Vocational Educational and Training (TVET) sememangnya diperakui mampu membina masa depan gemilang kepada negara.

Selangor antara negeri terawal di negara ini yang bingkas mencari rakan kongsi menerusi siri jelajah di Switzerland dan Jerman pada 2019, ketika pendidikan TVET menjadi bahan bualan.

Sebagai seorang yang terlibat langsung dalam TVET Selangor, penulis cuba membangunkan ekosistem pendidikan industri Selangor yang komprehensif untuk disesuaikan dengan perkembangan awal kanak-kanak.

Tokoh abad ke-20, Syed Qutb menjelaskan ibu bapa berperanan besar membentuk personaliti dan keperibadian anak-anak.

Antara ciri personaliti tersebut ialah baka, bentuk tubuh badan, keadaan fizikal, kecerdasan, emosi, pengalaman awal kanak-kanak dan kesan keluarga, kebudayaan, kawan, sekolah dan sosio budaya dalam mempengaruhi anak-anak.

Gajet dan media sosial turut mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

Justeru Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari kini tampil memperkenalkan modul pendidikan janin bagi melahirkan generasi muda yang terkawal dan tidak terpengaruh dengan pelbagai faktor luaran khususnya gajet dan media sosial.

Selangor percaya negeri itu mampu membentuk generasi cemerlang sebagai langkah penyediaan tenaga kepakaran dalam sektor perindustrian sekiranya pelaksanaan modul pendidikan janin dapat dilakukan secara sempurna.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal ini, saintis terkemuka Chao CC dan Hu S dalam penulisan bertajuk Tumor Necrosis Factor-Alpha Potentiates Glutamate Neurotoxicity in Human Fetal Brain Cell Cultures terbitan Developmental Neuroscience pada 1994 menjelaskan 70 peratus sel saraf otak manusia dibentuk ketika usia janin iaitu anggaran 250,000 sel seminit.

Kajian Profesor Charles Murray bertajuk The Bell Curve (1994) pula mendapati 75 peratus manusia mempunyai IQ antara 90 dan 99.9 peratus akibat sistem ‘pendidikan janin’ menerusi ibu bapa mereka.

Murray menyenaraikan program berkonsepkan kasih-sayang dan sentuhan perut ibu, pembelajaran matematik, alat muzik, kemahiran bertutur bahasa kedua dan pemakan berkhasiat, sebagai latihan pendidikan janin.Anak bijak

Sebenarnya, modul pendidikan janin terbukti boleh menghasilkan zuriat atau anak bijak kerana penulis sendiri telah mengikutinya bersama isteri yang ketika itu melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Massachussets, Amerika Syarikat selama tiga tahun bermula 1985.

Program tersebut dikendalikan Brigham’s Women Hospital khusus untuk penduduk di Boylston Park, Boston Massachussets.

Program bermula ketika kandungan berumur tiga bulan sehingga 3 tahun. Penulis terperanjat kerana anak mampu ABC pada usia enam bulan dan mampu membaca akbar berbahasa Inggeris pada 2 ½ tahun.

Pada usia 3 tahun, anak sulung penulis mampu menyelesaikan matematik Tahun Dua. Anak penulis juga telah menghafal semua sifir pada usia 4 tahun.

Penulis mengaplikasi modul pendidikan janin untuk semua enam anak dan kesan agak memberangsangkan.

Dr Kazuo Maeda daripada Fakulti Perubatan, Universiti Masato Tatsumura Tottori, Jepun menerusi kajiannya mendapati janin mampu mendengar suara daripada luar melalui deria pendengarannya yang sangat khusus iaitu pada kadar bunyi antara 60 dan 80 decibels (dB) dengan kadar frekuensi 1,000 Hertz (Hz).

Janin juga mampu mendengar suara ibunya pada kadar 1,000 Hz.

Justeru, perancangan Amirudin untuk mewujudkan ekosistem pendidikan industri di Selangor bermula dengan negeri itu perlu menerajui ‘pendidikan janin’ diikuti pendidikan awal kanak-kanak dan seterusnya sehingga peringkat kemahiran profesional doktor falsafah.

Pelan perancangan sedang disediakan untuk dilaksanakan bermula 2022.

Sistem komuniti yang diselaras dan disokong dalam ekosistem pendidikan industri dan pendidikan janin di Selangor dilihat berupaya mengubah seseorang dan seterusnya masyarakat.

Penulis percaya Selangor mampu untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang berkeupayaan tinggi tanpa dicemari unsur negatif khususnya ketagihan kepada media sosial dan gajet sekiranya perlaksanaan modul pendidikan janin dipantau sepenuhnya. ALLAH SWT telah membuktikan menerusi surah al-Ahqaaf ayat 46:15-16.

Kesimpulannya negeri lain di negara ini harus mula meniru langkah yang dilakar oleh Selangor dalam melahirkan generasi cemerlang menerusi modul pendidikan janin.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor