X

Kindly register in order to view this article
!

Mesin jahit usang teguh berbakti lebih 70 tahun

Haja Mohideen Mohd Shariff, 72, menunjukkan antara tempahan songkok pelanggan, yang disiapkannya menggunakan mesin jahit berusia lebih 70 tahun itu - Foto Bernama
A
A

GEORGETOWN - Mungkin tidak ada warisan lebih berharga bagi pembuat songkok tersohor Pulau Pinang, Haja Mohideen Mohd Sharif, apabila menerima mesin jahit lama daripada bapanya yang masih teguh berbakti setelah lebih 70 tahun berkhidmat.

Haja Mohideen, 73, berkata, mesin jahit yang hampir sebaya dengannya itu telah digunakan oleh bapanya untuk menjahit perincian songkok dengan lebih halus dan rapi setelah sekian lama penghasilan songkok dibuat 100 peratus menggunakan jahitan tangan sejak awal pembukaan kedai pada tahun 1936.

"Jika ada kerosakan, saya akan baiki sendiri. Mesin ini sudah lama (berbakti) dengan arwah ayah saya. Sekiranya ada kerosakan, saya tahu apa yang mahu dibetulkan.

"Mesin jahit ini mempunyai nilai sentimental kepada saya, tidak mungkin saya akan jual. Pernah satu ketika, ada individu menawarkan RM3,000 untuk membeli namun saya tolak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedainya di sini pada Khamis.

Kedai berukuran 1.8m dan 3.6m yang terletak bersebelahan Masjid Nagore Durgha di Lebuh King, di sini menjadi saksi, Haja Mohideen setia menggunakan mesin jahit berwarna hitamnya itu saban hari menyiapkan tempahan songkok pelanggannya.

Haja Mohideen Mohd Shariff, 72, (kanan) menyiapkan tempahan songkok pelanggan di dalam sebuah kedai di bangunan warisan bersebelahan dengan Masjid Nagore di Lebuh King di sini. - Foto Bernama
Haja Mohideen Mohd Shariff, 72, (kanan) menyiapkan tempahan songkok pelanggan di dalam sebuah kedai di bangunan warisan bersebelahan dengan Masjid Nagore di Lebuh King di sini. - Foto Bernama

Mengimbau kenangan, Haja Mohideen berkata, beliau mula menghasilkan songkok pertama ketika berusia 12 tahun ketika membantu bapanya berniaga setelah pulang dari sekolah.

"Dulu saya hanya dibenarkan untuk membantu memotong kain dan kerja-kerja kecil, tetapi kerja-kerja menggunakan mesin dilakukan oleh arwah ayah.

"Sejak kecil, saya menyaksikan satu demi satu songkok dan tarbus yang dijual kepada pelanggan menggunakan mesin ini malah sehingga kini pelanggan tetap setia membuat tempahan terutama pada hari raya, majlis pernikahan, sekolah dan sebagainya," katanya.

Beliau juga bangga menceritakan mesin jahit itu juga telah berkhidmat menghasilkan songkok untuk Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta nama-nama besar yang lain.

Beliau yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik berkata, hanya dia yang mewarisi kebolehan penghasilan songkok daripada bapanya kerana selesai zaman persekolahan, beliau bekerja sebagai pembuat songkok sepenuh masa.

Bapa kepada dua anak itu berkata, suatu ketika dahulu, masih ramai individu yang menghasilkan songkok secara tradisional, namun setelah mereka meninggal dunia, tidak ada waris yang sanggup meneruskan legasi itu.

Terangnya, proses penghasilan songkok dimulakan dengan penyediaan rangka dalaman yang dibuat daripada 18 lapisan terdiri daripada kertas surat khabar lama yang dijahit dengan satu lapisan kertas coklat dan lapisan kain.

Haja Mohideen berkata, lapisan itu kemudiannya dipotong menjadi bentuk bujur manakala rangka berbentuk segi empat tepat daripada bahan yang sama digunakan untuk membuat bahagian tepi songkok.

"Tahun ini tidak seperti sebelumnya, permintaan semakin tinggi kerana orang ramai tidak lagi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kami menawarkan harga songkok serendah RM20 sehingga RM45,” katanya.

Memandangkan banyak tempahan yang diterima, Haja Mohideen kini melatih menantunya, Abdul Kader Mydin untuk membantunya dan mereka mungkin perlu bekerja sehingga malam raya untuk menyiapkan tempahan orang ramai. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!