Solat tarawih, solat Jumaat, solat fardu perlu ikut SOP MAIK

Tengku Mohamad Rizam
Tengku Mohamad Rizam
A
A
A

KOTA BHARU - Solat Jumaat, solat fardu, solat tarawih dan aktiviti lain di masjid di tujuh daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong, Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu dan solat tarawih dan qiamullail di masjid atau jajahan dibenarkan dengan kehadiran 70 peratus, manakala bagi masjid mukim, surau dan musala dibenarkan dengan kehadiran 50 peratus mengikut kapasiti sebenar masjid.

"Ia juga perlu selaras dengan penjarakan fizikal satu meter dan boleh dilaksanakan lapan rakaat dengan bacaan surah atau ayat pendek dalam tempoh tidak lebih 45 minit, tidak termasuk solat Isyak.

"Tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat tarawih, manakala tazkirah subuh, asar dan lain-lain adalah dibenarkan dengan kehadiran 70 peratus bagi masjid negeri dan jajahan, manakala manakala 50 peratus bagi masjid mukim, surau dan musala.

"Ia juga perlu mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musala dengan penjarakan fizikal satu meter dalam tempoh tidak lebih 45 minit," katanya.

Menurutnya, tadarus al-Quran adalah dibenarkan dengan kehadiran 70 peratus bagi masjid negeri dan jajahan, manakala 50 peratus bagi masjid mukim, surau dan musala mengikut kapasiti sebenar dengan penjarakan fizikal satu meter dalam tempoh tidak lebih 45 minit.

Selain itu katanya, qiamullail adalah dibenarkan sepanjang Ramadan dengan kehadiran 70 peratus bagi masjid negeri dan jajahan, manakala 50 peratus bagi masjid mukim, surau dan musala mengikut kapasiti sebenar dengan penjarakan fizikal satu meter dalam tempoh tidak lebih 45 minit.

"Jamuan berbuka puasa, bersahur dan moreh tidak dibenarkan, walau bagaimanapun masjid, surau dan musala boleh menyediakan menu berbuka, bersahur serta moreh secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

Artikel Berkaitan:

"Iktikaf di masjid adalah dibenarkan dengan kehadiran 70 peratus bagi masjid negeri dan jajahan, manakala 50 peratus bagi masjid mukim, surau dan musala mengikut kapasiti sebenar dengan penjarakan fizikal satu meter," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, katanya, khidmat imam untuk solat tarawih dan penceramah bagi program Ihya Ramadan dari luar negeri Kelantan tidak dibenarkan dan jemaah juga digalakkan untuk mengambil wuduk di rumah masing-masing.

"Bagi Jajahan Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli adalah mengikut sebagaimana SOP yang telah dikeluarkan sebelum ini. Oleh itu, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.

"SOP sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan sebagainya. Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa ALLAH SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua," katanya.