Melayu-Islam perlu jadi tonggak penyatuan negara

Ahmad Amzad
Ahmad Amzad
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat Islam dan Melayu perlu membuktikan kejayaan penyatuan ummah menerusi parti politik terlebih dahulu sebagai satu bentuk tarikan yang kuat dalam mewujudkan penyatuan semua bangsa di negara ini.

Naib Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad berkata, selaku masyarakat majoriti di negara ini, orang Melayu dan Islam yang berhasrat menerajui negara seharusnya menjadi tonggak dalam penyatuan tersebut.

“Dalam konteks negara stabil ia memerlukan penyatuan rakyat seramai yang mungkin. Orang Melayu Islam seharusnya menjadi tonggak.

“Jika 60 peratus masyarakat Islam tidak dapat bersatu, bagaimana kita mahu ajak kaum lain untuk bersama kita. Jadi kita kena buktikan kita boleh bersatu dan kesatuan ini akan menjadi tarikan kuat kepada kaum lain.

"Dalam hal ini kita setuju penyatuan mesti tidak melibatkan agenda ekstremis yang boleh merosakkan perpaduan negara,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar Edisi ke-248 bertajuk Penyatuan Ummah: Cukup-cukuplah berpecah yang disiarkan menerusi platform atas talian Sinar Harian.

Wacana tersebut turut menampilkan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor dan Penganalisis Politik, Mohd Roslan Saludin sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi menegaskan, Malaysia tidak boleh lagi berdepan dengan suasana politik dan kerajaan yang tidak menentu pada pilihan raya umum akan datang dan semua pihak perlu mengambil pendekatan bertolak ansur.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak boleh..kejap parti itu, kejap parti ini. Kita perlukan kerajaan yang stabil dan kuat agar dasar kejayaan negara boleh dipacu.

“Penyatuan ummah adalah kunci kekuatan negara masa akan datang dan akan menjayakan hasrat rakyat yang benar-benar mahu kerajaan yang stabil selain fokus kepada pembangunan negara,” katanya.

Ditanya mengenai rakaman audio tular mengaitkan kerjasama UMNO-PKR, beliau berkata, pihaknya berharap ia adalah tidak benar.

“Pas dengan jelas menolak sebarang kewujudan jajaran baharu politik. Kita yakin, dalam UMNO juga ramai yang komited dengan Muafakat Nasioanal (MN),” katanya.