Hukum guna duit haram bukan hanya libat soal makan, minum

Zaharuddin ketika program Wacana al-Quran Siri ke-113 bertajuk Berpuasa Tapi Harta Masih Haram' disiarkan secara dalam talian di laman Facebook Sinar Harian pada Khamis.
Zaharuddin ketika program Wacana al-Quran Siri ke-113 bertajuk Berpuasa Tapi Harta Masih Haram' disiarkan secara dalam talian di laman Facebook Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Menggunakan duit haram hukumnya haram kerana Islam amat menitikberatkan urusan kewangan sama ada diperoleh daripada pendapatan halal atau haram serta bagaimana ia dibelanjakan.

Profesor Adjung Falkulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, ia merangkumi semua perkara dan bukan hanya dalam soal makan dan minum.

"Dalam satu hadis (Nabi SAW) ada disebutkan, setiap daging terbina daripada harta haram maka neraka lebih layak untuknya.

"Jadi ada sebahagian orang bertanya kalau saya guna harta haram tetapi untuk beli perabot, saya tak makan jadi tak masuklah dalam nas tadi itu. Jadi jawabnya tidak betul," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Wacana al-Quran Siri ke-113 bertajuk 'Berpuasa Tapi Harta Masih Haram' disiarkan secara dalam talian di laman Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Turut menjadi panelis program kali ini ialah Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Muhammad Furqan Abdulllah.

Program dimoderatorkan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan Qari My #QuranTime, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman pula memperdengarkan bacaan surah al-Baqarah ayat 188.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata, nas tersebut menyebut makan dan minum kerana ia adalah perkara yang paling diutamakan manusia dalam kehidupan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kalau (ada) duit lebih dia (manusia juga) akan tumpu kepada makan dan minum, kalau ada duit cukup-cukup pun dia akan tumpu makan minum.

"Jadi sampai ada yang sanggup tidak berpakaian, berpakaian compang-camping dan koyak tapi makan mesti nak makan juga. Itu sebab makan minum diutamakan dalam hadis tadi," katanya.