Tutup bazar Ramadan dan Aidilfitri jika ada jangkitan Covid-19: Annuar

Annuar (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyampaian Bakul Makanan sempena Ramadan Parlimen Ketereh di Padang Halban, Kota Bharu pada Khamis.
Annuar (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyampaian Bakul Makanan sempena Ramadan Parlimen Ketereh di Padang Halban, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan ditutup serta-merta jika berlakunya jangkitan Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan itu selari dengan ketetapan yang telah dibuat oleh kerajaan.

"Nasihat saya supaya semua yang terlibat menjaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana telah ditetapkan dengan mengehadkan jumlah kemasukan pengunjung dalam satu-satu masa bagi memastikan wujudnya penjarakan fizikal.

"Kita ada 66 penganjur bazar Ramadan di seluruh Wilayah Persekutuan yang telah mendapat kelulusan, jadi mereka perlu ambil tanggungjawab itu terutamanya memastikan pintu masuk dan keluar berasingan.

"Selain itu, mereka perlu kawal agar tidak berlaku urusan keluar masuk tanpa laluan sah," katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan sempena Ramadan Parlimen Ketereh pada Khamis.

Menurutnya, berpandukan kepada maklumat yang diterima menerusi laporan bergambar mendapati tahap pematuhan SOP masih rendah.

Beliau berkata, kementerian mahu seluruh pengusaha bazar dan peniaga membuat penambahbaikan dalam SOP.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata, beliau mahu peniaga menyediakan cecair pembasmi kuman di setiap premis dan menyediakan barangan dalam bentuk yang sudah dibungkus dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengunjung juga perlu sentiasa menggunakan aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pengesanan dibuat sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

"Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) akan kembali beroperasi semula pada 17 April ini.

"Jadi patuhilah SOP agar kegiatan ekonomi ini dapat berjalan seperti biasa" katanya.

Annuar berkata, beliau mahu semua ketua komuniti di setiap perumahan serta kediaman yang ada di Wilayah Persekutuan untuk mengingatkan penduduk setempat supaya patuh kepada SOP.

Menurutnya, pematuhan itu bertujuan mengurangkan pergerakan atau urusan di luar rumah sekiranya tiada keperluan berbuat demikian.

Mengulas mengenai agihan bakul makanan itu, beliau berkata, ia membabitkan 16,000 penerima di kawasan Parlimen Ketereh.

Katanya, sumbangan itu bertujuan meringankan beban penduduk yang akan berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.