Gabungan Melayu Islam asas terpenting, tak boleh tangguh

Mohd Roslan
Mohd Roslan
A
A
A

SHAH ALAM – Pembentukan asas dalam gabungan politik di negara ini perlu dibina atas kekuatan majoriti dalam kalangan penduduk Malaysia iaitu Melayu dan Islam.

Penganalisis Politik, Mohd Roslan Saludin berkata, ia hakikat yang tidak boleh dipisahkan dalam konteks untuk mewujudkan satu asas gabungan yang kukuh.

“Dalam konteks demokrasi Malaysia yang berpaksikan penguasaan kepada majoriti, sudah tentu perpaduan Melayu dan Islam itu sangat utama.

“Proses membina asas ini amat penting dan tidak boleh dibina kemudian. Ia mesti diselesaikan sekarang.

“Jika tidak, kita akan lihat ketidakstabilan akan datang, wujudnya ganggu-gugat dan sebagainya, negara kita akan terus berpolitik tanpa ada berkesudahan,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar Edisi ke-248 bertajuk 'Penyatuan Ummah: Cukup-cukuplah berpecah' yang disiarkan menerusi platform dalam talian Sinar Harian.

Wacana tersebut turut menampilkan Timbalan Menteri Tenaga, Sains dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Tambah Mohd Roslan, peluang kepada golongan muda bagi menerajui negara perlu diberi keutamaan dalam mewujudkan politik yang stabil.

Artikel Berkaitan:

Beliau percaya, baik UMNO, Pas mahupun Bersatu, masing-masing mempunyai potensi calon yang sesuai untuk diangkat sebagai ketua pemerintah.

“Jika tidak beri peluang kepada orang muda, memang akan berlaku gerakan-gerakan yang akan menggoyang kestabilan itu dan akibatnya berlaku lompat parti serta sebagainya.

“Ditambah dengan hasutan fitnah dan pelbagai lagi kaedah yang boleh menggugat kestabilan sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati sesetengah golongan kepada keadaan tertentu,” katanya.