47 rakyat Malaysia dijangka tiba ke Malaysia hari ini

Othsman (duduk ditengah) bersama dengan Fatimah (duduk sebelah kiri) dan Wan Junidi (duduk sebelah kanan) serta Mustapha (berdiri sebelah kanan) sambil memegang bendera Malaysia menghantar rombongan rakyat Malaysia pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap.
A
A

SHAH ALAM - Seramai 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja berlepas pulang ke Malaysia menerusi pesawat khas tajaan AirAsia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap hari ini.

Menurut Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican, seramai empat rakyat Malaysia berlepas pulang pada pukul 8.30 pagi tadi sementara 43 lagi menaiki pesawat pada pukul 10 pagi.

“Menteri Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Ahli Parlimen Sentubong, Datuk Seri Dr Wan Junidi Tuanku Jaafar turut sama dalam pesawat yang membawa rakyat Malaysia terbabit,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian hari ini.

Turut sama menghantar rakyat Malaysia itu pulang ialah Menteri Kanan Kemboja, Okhna Datuk Dr Othsman Hassan.

Kesemua rakyat Malaysia itu ditahan sejak 11 Disember lalu, selepas diumpan dengan janji manis gaji lumayan dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia.

Mereka yang berusia berusia di antara 19 hingga 44 tahun ditahan di Penjara Banteay Meanchey, kira-kira 446 kilometer dari Phnom Penh.