JAS sahkan tiada laporan EIA dikemukakan PKPS

Kenyataan media JAS pada Khamis.
Kenyataan media JAS pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan tiada laporan Kajian Penilaian Kesan Awal Kepada Alam Sekeliling (EIA) dikemukakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi pembangunan projek Smart Selangor Agro Park (SSAP) di Changkat Menteri, Sabak Bernam.

Pengarahnya, Norlin Jaafar berkata, berdasarkan rekod JAS, tiada laporan EIA daripada PKPS sebagaimana kehendak Seksyen 34A(6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurutnya, Terma Rujukan (TOR) laporan EIA bagi cadangan pembangunan ladang kelapa sawit di keseluruhan Kawasan Tanah Milik PKPS di PT 4293, Mukim Sungai Panjang, Sabak Bernam, telah diterima JAS pada 5 Disember 2019.

"Bagaimanapun laporan TOR tersebut tidak disahkan pada 29 Januari 2020," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Norlin berkata, susulan siasatan JAS Selangor ke lokasi projek, notis arahan telah dikeluarkan kepada PKPS pada 8 April lalu di bawah Seksyen 31, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan perintah larangan bagi aktiviti yang ditetapkan di bawah Seksyen 34AA, Akta yang sama pada 12 April 2021.

"Notis arahan ini dikeluarkan bagi menghentikan kerja-kerja pembersihan tapak dengan serta-merta dan mengemukakan laporan EIA kepada JAS," katanya.

Tegas beliau, JAS sentiasa memantau pelaksanaan projek itu dan memastikan tiada sebarang aktiviti dijalankan di tapak terbabit.

"JAS akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, PKPS menafikan pembangunan projek SSAP di Changkat Menteri, Sabak Bernam dilaksanakan tanpa melalui EIA.

PKPS dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya sudah melantik konsultan pada 2019 untuk menjalankan kajian EIA di atas tanah itu bagi cadangan pembukaan kawasan ladang kelapa sawit, sebagaimana kategori kegunaan tanah yang ditetapkan di dalam Suratan Hakmilik PKPS.

ARTIKEL BERKAITAN: SSAP Changkat Menteri tunjang bekalan makanan Selangor