Penguatkuasaan PBT di semua bazar Ramadan, Aidilfitri

Penguatkuasaan pematuhan SOP oleh PBT akan dilaksanakan di semua bazar Ramadan dan Aidilfitri termasuk di bazar yang bukan di bawah penyeliaan dan kawalan PBT. Foto hiasan.
Penguatkuasaan pematuhan SOP oleh PBT akan dilaksanakan di semua bazar Ramadan dan Aidilfitri termasuk di bazar yang bukan di bawah penyeliaan dan kawalan PBT. Foto hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilaksanakan di semua bazar Ramadan dan Aidilfitri termasuk di bazar yang bukan di bawah penyeliaan dan kawalan PBT.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan SOP di bazar Ramadan dan Aidilfitri, PBT akan menempatkan sekurang-kurangnya empat anggota masing-masing mengikut saiz dan kapasiti keluasan bazar terlibat.

“Tugasan kawalan di laluan masuk dan keluar serta rondaan ini juga akan dibantu oleh anggota Rela dalam memastikan keadaan bazar adalah terkawal, tidak sesak dan semua pengunjung dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPKT, PBT memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan SOP yang ketat bukan sahaja dalam kalangan pengunjung bahkan juga pematuhan peniaga terhadap syarat-syarat perniagaan di bazar Ramadan.

Dalam hal ini, menurut KPKT, semakan terhadap peniaga merangkumi maklumat suntikan typhoid, kad pengendali makanan, bayaran permit, pematuhan SOP dan kebersihan tapak.

Berkuat kuasa Rabu, Kementerian Kesihatan telah menurunkan kuasa kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan pegawai penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas, untuk mengkompaun kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP bazar Ramadan.

SOP di bazar Ramadan dan Aidilfitri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) antara lain merangkumi kawalan keluar masuk pelanggan ke premis dengan penjarakan fizikal satu meter, pemakaian pelitup muka, pendaftaran MySejahtera atau secara manual dalam buku, manakala peniaga dan pelanggan yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius tidak dibenarkan masuk.

"Tindakan tegas akan diambil oleh anggota penguat kuasa terhadap pengunjung dan para peniaga yang didapati ingkar dan melanggar SOP mengikut peruntukan undang-undang berkaitan," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut KPKT, pemakluman mengenai pelaksanaan SOP bazar Ramadan dan Aidilfitri dihebahkan melalui platform seperti portal rasmi PBT dan media sosial, dan pembesar suara juga akan digunakan sebagai peringatan kepada pengunjung tentang pematuhan SOP. - Bernama