KASA peruntuk RM13.875 juta kepada JPS Pahang

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

JERANTUT - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan sebanyak RM13.875 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang untuk mengurangkan risiko banjir di negara melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

Jumlah tersebut melibatkan RM12.075 juta bagi kerja-kerja undi manakala RM1.8 juta bagi kerja kajian Rancangan Tebatan Banjir Sungai Lembing.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebanyak dua fasa terlibat iaitu Fasa 1 membabitkan lapan buah daerah sahaja dengan penglibatan seramai 1,705 kontraktor mendaftar bagi cabutan undi tersebut.

"Daerah terlibat iaitu Jerantut, Maran, Temerloh, Bera, Bentong, Cameron Highlands, Lipis dan Raub dengan bilangan kerja sebanyak 191 yang akan dilaksanakan melalui cabutan undi hari ini (Khamis).

"Fasa seterusnya melibatkan tiga daerah iaitu Kuantan,Pekan dan Rompin akan dilaksanakan selepas ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Undi Perdana Kerja-kerja di bawah peruntukan KASA bagi JPS Pahang 2021 di Dewan Majlis Daerah Jerantut pada Khamis.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Ketua Pengarah JPS, Datuk Noor Hisham Mohd Ghazali dan Pengarah JPS Pahang, Ir Mohd Noor Bidin.

Tuan Ibrahim dalam masa sama berharap kontraktor menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin dengan memastikan kualiti kerja tinggi dan pemantauan akan dilakukan oleh JPS.

"Ini kerana mereka ada potensi untuk mendapatkan peluang lebih besar selepas ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu,Tuan Ibrahim memberitahu terdapat juga projek sambungan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan kos sebanyak RM1.8 bilion diluluskan untuk JPS Pahang melibatkan pelbagai projek antaranya tebatan banjir, hakisan pantai, kolam takungan dan empangan.

"Selain itu sebanyak RM6.07 juta membabitkan Projek Perintis Kawalan Hakisan dan Kelodak di kawasan bercerun, Cameron Highlands diluluskan dalam RMK12," katanya.