Harimau Kumbang berjaya ditangkap

Bangkai kambing yang dibaham harimau.
A
A

JELEBU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan malam kelmarin berjaya menangkap seekor harimau kumbang yang membaham 15 biri-biri di Kampung Geylang, Simpang Pertang, di sini.

Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya menggunakan perangkap besi yang dipasang di kampung itu sejak dua minggu lalu.

"Haiwan itu berjaya ditangkap jam 10 malam dengan menggunakan umpan seekor kambing hidup yang diletakkan di dalam sangkar berasingan bersebelahan perangkap besi berkenaan.

" Kami telah bawa haiwan itu ke Pejabat PERHILITAN Seremban untuk rawatan juga pemantauan sebelum dilepaskan ke habitat asal.

“Bagaimanapun, kami belum mengenal pasti jantina dan berat haiwan itu kerana masih menunggu prosedur rawatan dijalankan oleh Jabatan Veterinar dan PERHILITAN negeri," katanya.

Sementara itu, katanya, spesies haiwan ini sudah terancam selain sukar ditemui dan dilindungi sepenuhnya mengikut jadual kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 15 bangkai biri biri ditemui dalam kandang di Kampung Geylang, Simpang Pertang, Jelebu dipercayai dibaham harimau selepas disedari pemilik binatang ternakan itu ketika mahu memberi makan jam 8 pagi Sabtu lalu.

Bangkai biri-biri berkenaan dalam keadaan dagingnya telah disiat dan dirobek di bahagian perut hingga menampakkan tulang dan membimbangkan penduduk setempat.

ARTIKEL BERKAITAN: 15 ekor kambing dibaham harimau