Barang seludup, alatan judi RM20 juta dirampas

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Pasukan Gerakan Khas (PGK) menyerbu sebuah gudang di Taman Perindustrian Pulau Indah di sini pada Sabtu dan merampas pelbagai barangan seludup dan peralatan perjudian bernilai RM20 juta.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Azri Ahmad berkata, serbuan dilakukan menerusi Ops Kontraban oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas PGK Bukit Aman.

"Menerusi operasi tersebut, polis merampas sebanyak 3,371 kotak minuman keras pelbagai jenama dan 1,505 kotak rokok putih pelbagai jenama tidak bercukai.

"Selain itu, operasi turut merampas sebanyak 160 unit mesin permainan dan 29 unit pemprosesan komputer (CPU) dipercayai untuk tujuan perjudian," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan sebanyak RM19,707,810.

"Tiada tangkapan dilakukan kerana premis tersebut tidak berpenghuni. Polis kini mengesan pemilik premis gudang tersebut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan: