23 pegawai kanan PDRM tukar jawatan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat 23 pegawai kanannya berkuat kuasa pada 17 Mei ini.

Menurut Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Superintendan Skandaguru Anandan, antara yang terlibat ialah Pegawai Pemerintah Batalion 3 Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bidor, Perak, Superintendan Rosman Kasman.

Beliau berkata, jawatan baharu Rosman adalah Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), JKDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Selain itu, Pegawai Turus Pengurusan Dasar dan Sumber Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Perak, Superintendan Lam Chien Fei pula dilantik sebagai Timbalan Komandan (Latihan) Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Berikutan itu, Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa) Jabatan Pengurusan Bukit Aman Asisten Komisioner Ahsmon Bajah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuching, Sarawak bagi menggantikan Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani.

Awang Din pula dilantik sebagai Timbalan Ketua JPJKK (Perancangan Strategik) Johor.

Selain itu, Timbalan Komander Pasukan FRU, JKDNKA Bukit Aman Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin pula dilantik menjadi Ketua JPJKK Pahang dengan memangku pangkat Senior Assisten Komisioner.

“Pertukaran lain turut melibatkan Pegawai Turus E4B Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisioner Winston Tan Thye Wa yang dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Pulau Pinang dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Artikel Berkaitan:

“Jawatan Winston Tan akan digantikan Supt E4A1 Cawangan Khas Bukit Aman, Zulkifli Arin dengan memangku pangkat Asisten Komisioner," katanya.

Skandaguru berkata, pertukaran itu turut melibatkan Pegawai Turus Operasi Darat, JPJKK Sarawak, Superintendan Ang Seow Aun yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Siasatan/Perundangan, Sabah dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Selain itu, Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Selangor. - Bernama