Sharmendran harapkan latihan di Kazakhstan buahkan hasil

Sharmendran
Sharmendran
A
A
A

ATLET karate negara yang memasang impian layak ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini, bakal menjalani kem latihan selama sebulan di Kazakhstan dalam persiapan menghadapi kelayakan terakhir di Paris.

Atlet kumite kebangsaan, R Sharmendran berkata semasa kem latihan, atlet akan berpeluang berlatih bersama atlet tempatan di negara Asia Tengah itu untuk merasai pengalaman pertandingan selepas satu setengah tahun tidak bertanding berikutan pandemik koronavirus global.

Pemuda berusia 28 tahun ini percaya kem latihan di Kazakhstan akan membantu penggempur negara mendapatkan semula prestasi terbaik menjelang Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo di ibu negara Perancis dijadualkan pada 11 hingga 13 Jun.

“Selepas berehat panjang, kami harus kembali dan latihan adalah kaedah paling berkesan bagi kami kerana terdapat penggempur yang hebat, sebab itu kami pergi ke Kazakhstan. Secara fizikal kami berada dalam keadaan yang sangat baik, tetapi kami harus bersedia dari segi mental.

“Untuk kembalikan suasana pertandingan dan tekanan adalah perkara yang kami perlu biasakan semula. Sudah pasti kami akan memberikan yang terbaik di Paris, kerana besar kemungkinan penyertaan di Tokyo adalah yang pertama dan terakhir bagi karate,” katanya kepada pemberita di sini.

Juara Piala Dunia Karate 1 2014 itu berkata buat masa ini tiga atlet karate iaitu pemenang pingat gangsa Sukan Asia, S Prem Kumar, P Madhuri dan beliau sendiri telah disahkan menyertai kem latihan itu, diikuti pertandingan di Eropah sebelum menuju ke Paris.

Atlet karate akan berlepas sebaik sahaja selesai menjalani dos kedua vaksin Covid-19 pada 4 Mei.

Kesemua mereka menjalani suntikan vaksin pertama pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan pandemik ini, sangat sukar untuk kami melakukan perjalanan, malah keluarga kami turut bimbang. Sekarang saya harap vaksin ini dapat melindungi kami dan keadaan akan kembali normal,” tambah Sharmendran. - Bernama