Ekonomi negara dijangka berkembang 6 hingga 7.5 peratus

Mustapa (tengah) ketika sidang akhbar di Iskandar Puteri pada Khamis.
Mustapa (tengah) ketika sidang akhbar di Iskandar Puteri pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Unjuran ekonomi negara dijangka mampu berkembang antara enam hingga 7.5 peratus pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jangkaan itu selari dengan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini.

"Sasaran ini dapat dicapai jika keadaan penularan Covid-19 di negara ini stabil dan menunjukkan pengurangan jangkitan. Terdapat petanda baik yang menunjukkan pemulihan ekonomi negara sedang berlaku ketika ini.

"Kita yakin apa yang diunjurkan oleh BNM iaitu enam hingga 7.5 peratus tahun ini dan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga mengunjurkan pertumbuhan negara kita sebanyak 6.5 peratus tahun ini," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Khamis.

Menurut Mustapa, BNM akan mengumumkan kadar pertumbuhan ekonomi negara dalam suku pertama iaitu tempoh Januari hingga Mac dalam tempoh seminggu dua lagi.

“Kita yakin ada julat 6.0 hingga 7.5 peratus. Ia banyak bergantung kepada situasi Covid-19. Maknanya kalau situasi stabil dan berkurangan, kita mungkin boleh capai 7.5 peratus.

"Selain itu, petanda-petanda baik turut dilihat termasuk eksport pada Februari yang meningkat, kadar pengangguran pada Februari yang menurun, perkembangan indeks perindustrian serta kenaikan harga komoditi iaitu kelapa sawit dan harga minyak dunia," kata beliau.

Baru-baru ini, IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan dunia bagi tahun 2021 sebanyak 0.3 mata kepada 5.5 peratus.

Artikel Berkaitan:

Ekonomi Malaysia menyusut 3.4 peratus pada suku keempat 2020 berikutan kemunculan semula Covid-19 menjadikan penguncupan sepanjang tahun kepada 5.6 peratus.

ARTIKEL BERKAITAN: Ekonomi Malaysia dijangka pulih: IMF