Sungai Kupang tercemar: CAP gesa kerajaan segera bertindak

Air Sungai Kupang menjadi keruh akibat dicemari sisa lumpur. Gambar kecil: Mohideen
Air Sungai Kupang menjadi keruh akibat dicemari sisa lumpur. Gambar kecil: Mohideen
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna-pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Kedah mengambil tindakan segera bagi mengatasi pencemaran yang berpunca daripada pembangunan projek musang king di Baling.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya kesal kerana lebih 2,000 penduduk di tujuh buah kampung di Kupang terpaksa berdepan sumber bekalan air yang dicemari sisa lumpur dari kawasan projek berkenaan.

Menurutnya, masalah dialami penduduk sejak dua tahun lalu itu turut mencemarkan air Sungai Kupang serta mengancam tanah sawah di kawasan berkenaan.

“CAP bersimpati dengan penduduk dan bimbang jika keadaan itu berterusan, kesihatan dan sumber pendapatan mereka akan teruk terjejas pada masa akan datang.

"Antara kampung terlibat ialah Kampung Bok Bak, Iboi, Bukit Iboi, Masjid Iboi, Padang Empang, Bendang Pecah dan Bendang Padang,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Mohideen berkata, tinjauan CAP baru-baru ini mendapati air sungai tersebut yang menjadi sumber utama bekalan air penduduk semakin keruh selain terdapat sisa lumpur dan pasir mendap di dasarnya menyebabkan sungai semakin cetek.

“Penduduk terlibat mengadu, ketika hujan bekalan air di rumah mereka tercemar dengan sisa lumpur dan terpaksa ditakung terlebih dahulu sebelum digunakan. Manakala untuk minuman ada kalangan penduduk membeli air mineral,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sinar Harian pada 8 April lalu.
Laporan Sinar Harian pada 8 April lalu.

Menurutnya, difahamkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) turut menyalurkan bekalan air paip kepada penduduk, namun bekalan kerap terputus dan tidak mencukupi untuk kegunaan harian mereka.

“Selain pencemaran bekalan air penduduk, pesawah juga mengeluh kerana tidak dapat mengusahakan tanah sawah akibat diancam sisa lumpur dan pasir dari kawasan projek terbabit. Tanah sawah di sini menjadi keras, tidak subur dan terbiar,” katanya.

Katanya, diharap tanah sawah yang terjejas wajar dipulihkan secepat mungkin selain diberikan pampasan setimpal kepada pesawah terlibat.

Pada Julai 2020, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor telah mengarahkan supaya projek musang king di Gunung Inas dihentikan, namun hingga kini masalah yang berpunca daripada projek berkenaan masih berterusan.

Pada 8 April lalu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) cawangan Kedah menggesa kerajaan negeri mengkaji semula projek pembangunan hutan yang diluluskan di Hutan Simpan Gunung Inas, Hutan Simpan Gunung Bongsu dan Hutan Simpan Rimba Teloi yang mengakibatkan pelbagai masalah.

Ia susulan bantahan penduduk terhadap projek ladang musang king di Gunung Inas yang sehingga kini kesan alam sekitarnya terus dirasai penduduk walaupun projek berkenaan diteroka sejak 2018.

ARTIIKEL BERKAITAN: Kaji semula projek musang king

Kerajaan Kedah tunggu laporan jabatan perhutanan