Impian City terus menyala

Guardiola meraikan jaringan kedua Phil Foden pada perlawanan berkenaan.
Guardiola meraikan jaringan kedua Phil Foden pada perlawanan berkenaan.
A
A
A

IMPIAN Manchester City untuk mengungguli empat piala musim ini terus menyala apabila mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Liga Juara-Juara setelah menewaskan gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund 2-1 pada aksi suku akhir kedua di Westfalenstadion, pada awal pagi Khamis.

Mengulas lanjut pengendali City, Pep Guardiola berkata, skuad kendaliannya itu kini berada pada landasan yang cukup baik untuk merangkul trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA, Piala Liga dan juga trofi Liga Juara-Juara dalam semusim.

Justeru menurutnya, kesempatan berkenaan pasti tidak akan dipersia-siakan The Citizens itu dalam usaha melakar sejarah tersendiri kelab berkenaan.

“Selain mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, kami kini hanya memerlukan tiga kemenangan lagi untuk merangkul trofi EPL.

“Kami juga dalam separuh akhir Piala FA dan bakal beraksi pada final Piala Liga dan bakal berdepan Tottenham Hotspur pada 25 April ini.

“Kesemua ini adalah satu pencapaian yang luar biasa buat kami dan sudah pasti kami mahu mengakhirinya dengan nota kejayaan,” katanya.

Riyad Mahrez menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama City.
Riyad Mahrez menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama City.

Pada perlawanan, Dortmund yang bermula garang sebaik wisel permulaan membuka jaringan menerusi Jude Bellingham pada minit ke-15.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Riyad Mahrez menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-55 sebelum Phil Foden menjaringkan gol kedua pada minit ke-75 bagi mengesahkan slot ke separuh akhir dengan aggregat 4-2 hasil kemenangan 2-1 di Etihad, 7 April lalu.

Kejayaan City mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara itu turut menghapuskan ‘badi suku akhir’ lantaran skuad The Citizens itu sering terkandas di peringkat suku akhir selama tiga musim berturut-turut mulai musim 2017 hingga 2020 lalu.

Sementara itu tonggak City, IIkay Gundogan menyifatkan kejayaan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara kali ini membuktikan City sememangnya sebuah kelab yang berkualiti.

“Kami sedar betapa getirnya saingan kali ini. Kesemua lawan kami adalah pasukan yang kuat, seperti Dortmund yang memiliki kualiti tersendiri dan mampu menewaskan sesiapa sahaja.

“Namun, kami telah membuktikan bahawa kami lebih ‘bersedia’ kali ini,” katanya.