Enam selamat, rumah pusaka 80 tahun hangus

Enam sekeluarga yang terselamat dalam kebakaran awal pagi Khamis
Enam sekeluarga yang terselamat dalam kebakaran awal pagi Khamis
A
A
A

MASJID TANAH - Sebuah rumah pusaka berusia lebih 80 tahun hangus dalam kebakaran awal pagi Khamis mengakibatkan enam penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Pemilik rumah enam bilik di Batu 21 Jalan Durian Daun berkenaan, Nurisah Tahir, 79, ketika ditemui masih bersedih dengan kejadian yang memusnahkan kediamannya dalam sekelip mata lebih-lebih lagi ketika Ramadan.

"Nenek memang sedih tetapi bersyukur kerana tiga cucu serta anak menantu selamat dalam kebakaran," katanya.

Nurisah yang masih mengenang kematian dua anak lelaki pada tahun lalu dan pada tahun 2019 akibat serangan jantung berharap rumah baharu dapat dibina sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Kamarulizam Abdullah berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 3.03 pagi dan sepasukan 16 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah dikejarkan ke lokasi.

Sulaiman (kanan) menyantuni Nurisah (tengah, berkerusi roda) ketika melawat rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Jalan Durian Daun, di sini, pada Khamis.
Sulaiman (kanan) menyantuni Nurisah (tengah, berkerusi roda) ketika melawat rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Jalan Durian Daun, di sini, pada Khamis.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, didapati sebuah rumah terbakar 90 peratus dan terdapat enam mangsa manakala seorang lelaki melecur 10 peratus.

"Mangsa dikejarkan ke hospital oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam.

Artikel Berkaitan:

"Kerja-kerja pemadaman api dilakukan dengan bantuan daripada BBP Alor Gajah dan kebakaran berjaya dikawal dalam masa lima minit pada jam 3.13 pagi, " katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyampaikan sumbangan wang tunai bernilai RM3,000 serta barangan keperluan asas.

Sulaiman berkata, Lembaga Perumahan Melaka akan membantu membina rumah baharu secepat mungkin dengan peruntukan sebanyak RM40,000 dan berharap keluarga berkenaan bersabar dengan dugaan yang menimpa pada bulan penuh keberkatan ini.

"Kerja-kerja pembersihan di tapak rumah akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum pembinaan dapat dilaksanakan," katanya.

Keadaan rumah pusaka Nurisah yang musnah dalam kebakaran kira-kira jam 3 pagi.
Keadaan rumah pusaka Nurisah yang musnah dalam kebakaran kira-kira jam 3 pagi.