Melaka benarkan buka puasa di kawasan lapang

Ghaffar Atan - Foto sumber internet
Ghaffar Atan - Foto sumber internet
A
A
A

MELAKA - Umat Islam di negeri ini dibenarkan berbuka puasa di kawasan lapang dan riadah seperti padang Dataran Pahlawan Banda Hilir di Bandaraya Melaka.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar, Datuk Seri Ghaffar Atan bagaimanapun berkata, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, kebenaran itu seiring dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kerajaan negeri tiada masalah memberi kebenaran jika ada yang ingin berbuka puasa di tempat-tempat tumpuan bersama keluarga seperti di kawasan lapang, mana-mana pun tak ada masalah.

"Cuma yang penting ialah SOP seperti memakai pelitup muka, membawa cecair pembasmi kuman dan yang paling penting penjarakan fizikal walau di mana kita berada," katanya ketika ditemui selepas program Santuni Permata Hati dan Bacaan Yasin Perdana Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sempena ulang tahun ke-18 MBMB di Hospital Melaka, Bukit Palah di sini pada Khamis.

Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Hadir sama ialah Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman dan Datuk Bandar, Datuk Zainal Abu.

Ghaffar berkata, kerajaan negeri bagaimanapun tidak teragak-agak untuk menarik balik kebenaran itu sekiranya mendapati rakyat menyalahgunakan budi bicara tersebut sehingga menyebabkan peningkatan kes positif Covid-19 atau mencetuskan kluster baharu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zainal berkata, sepanjang Ramadan ini, pihaknya menggerakkan seramai 200 penguat kuasa untuk melakukan pemantauan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

"Pemantauan tertumpu kepada kawasan-kawasan tumpuan ramai khususnya sekitar pasar dan bazar Ramadan," katanya.

Antara lokasi tumpuan ramai yang sering menjadi lokasi berbuka puasa di negeri ini ialah Dataran Pahlawan di Banda Hilir, Pantai Dataran 1 Malaysia di Klebang dan Dataran MBMB.